Mercury Securities unjur sektor perkhidmatan, pembuatan pacu pertumbuhan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercury Securities unjur sektor perkhidmatan, pembuatan pacu pertumbuhan 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 31 Dis – Mercury Securities Group Bhd menjangkakan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada 2026, disokong oleh aktiviti berterusan dalam sektor pembinaan dan pertanian.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, firma pembrokeran saham dan penasihat kewangan korporat itu berkata prestasi pelaburan yang kukuh akan dipacu oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi khususnya dalam sektor strategik berimpak tinggi.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Oktober 2025, Mercury Securities mencatatkan keuntungan bersih RM3.86 juta, meningkat daripada RM3.52 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong terutamanya oleh pertumbuhan hasil.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM10.18 juta berbanding RM8.82 juta setahun lalu.

 

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025, keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM14.62 juta daripada RM14.04 juta sebelumnya manakala hasil bertambah kepada RM36.2 juta berbanding RM32.57 juta.

 

Menurut syarikat, pertumbuhan hasil yang lebih tinggi itu terutamanya disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham khususnya daripada pendapatan margin, yuran penempatan dan yuran pengunderaitan.

 

Bagi prospek 2026, Mercury Securities berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 4.5%, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta sektor luaran yang stabil.

 

“Pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan pengguna swasta, disokong pelaksanaan pelarasan gaji di bawah Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, kesinambungan program bantuan bersasar serta aktiviti pelancongan yang rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

Syarikat itu turut memaklumkan dasar monetari pada 2025 kekal tertumpu kepada menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan global, sambil mengekalkan kestabilan harga domestik.

 

“Pada Julai 2025, kadar dasar semalaman diturunkan daripada 3% kepada 2.75% sebagai langkah awal untuk mengekalkan pertumbuhan yang stabil, selaras dengan prospek inflasi yang sederhana.

 

“Selain itu, ringgit menunjukkan daya tahan berbanding dolar AS disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh, langkah berterusan bagi menggalakkan aliran modal serta peningkatan keyakinan pelabur,” katanya.

 

Dalam persekitaran yang masih dibayangi ketegangan perdagangan global dan risiko geopolitik, Mercury Securities berkata pihaknya akan terus berwaspada dalam merebut peluang sambil melaksanakan strategi pengurusan kos yang berhemah.

 

“Melainkan berlaku sebarang keadaan luar jangka, lembaga pengarah kekal optimistik secara berhati-hati bahawa keadaan dagangan dan aktiviti korporat akan memberi kesan positif terhadap prestasi kumpulan pada tahun kewangan akan datang,” katanya. - DagangNews.com