Mercedes-Benz pembekal rasmi kenderaan VIP sempena LIMA 2025  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mercedes-Benz pembekal rasmi kenderaan VIP sempena LIMA 2025 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Mercedes-Benz Malaysia dilantik sebagai Pembekal Rasmi Kenderaan Diraja dan kerajaan bagi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei di Langkawi.

 

Mercedes-Benz akan menyediakan kenderaan rasmi untuk tetamu kenamaan dan delegasi sepanjang LIMA 2025, termasuk model S 580 e Plug-in Hybrid dan EQS 580 4MATIC SUV yang dipasang secara tempatan dan menawarkan teknologi moden serta prestasi lestari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang berkata, penyertaan dalam LIMA 2025 mencerminkan komitmen syarikat terhadap rumusan mobiliti bertaraf dunia.

 

"Inovasi dan kecemerlangan adalah teras kepada segala yang kami lakukan.

 

"Kerjasama ini membolehkan kami mempamerkan komitmen Mercedes-Benz dalam memacu masa depan mobiliti melalui elektrifikasi, mobiliti pintar, dan rekaan berteknologi tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain menyediakan pengalaman pemanduan bertaraf VIP, pengunjung LIMA 2025 juga boleh mengunjungi ruang pameran Mercedes-Benz yang menampilkan model ikonik Mercedes-AMG SL 43 roadster, simbol prestasi dan gaya hidup mewah.

 

Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen berterusan Mercedes-Benz Malaysia dalam menyokong platform nasional yang memacu kemajuan dalam sektor mobiliti, aeroangkasa, dan teknologi.- DagangNews.com