Mengaku hutang TNB sebanyak RM61 juta, Air Kelantan Sdn Bhd akan bayar secara berperingkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mengaku hutang TNB sebanyak RM61 juta, Air Kelantan Sdn Bhd akan bayar secara berperingkat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini berhutang RM61 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi bil elektrik tertunggak, namun kerajaan negeri akan menyelesaikannya secara berperingkat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, tunggakan itu sebahagiannya berpunca daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan kutipan bil, selain sesetengah penduduk menangguh pembayaran semasa gangguan bekalan air berlaku.

 

“Satu pertemuan telah diadakan dengan TNB untuk membincangkan beberapa langkah penyelesaian, namun tiada perjanjian muktamad dicapai.

 

“Perbincangan lanjut akan dijalankan untuk menetapkan jadual pembayaran. Dengan pengurusan AKSB yang semakin baik, kami yakin hutang ini akan dilunaskan mengikut garis masa yang dipersetujui,” katanya.

 

Tambahnya, sebelum ini AKSB telah menyelesaikan tunggakan lama mengikut jadual, namun ada beberapa daerah masih mempunyai baki tertunggak.

 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga serta Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, mendedahkan tunggakan AKSB dengan TNB telah mencapai kira-kira RM61 juta setakat 30 Jun lalu.- DagangNews.com