Melaka rangka SOP kawal selia sektor perlombongan nadir bumi bernilai RM8 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Melaka rangka SOP kawal selia sektor perlombongan nadir bumi bernilai RM8 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 April — Kerajaan Melaka sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk mengawal selia sektor perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu yang dipercayai menyimpan deposit bernilai lebih RM8 bilion.


Garis panduan baharu itu yang dijangka dapat dimuktamadkan pada penghujung 2025, adalah sebahagian inisiatif berimpak tinggi di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dilaksanakan kerajaan Persekutuan sejak 24 November 2024.


Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Melaka, Datuk Anis Ali Hasan berkata, SOP itu sedang dibangunkan melalui kerjasama antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan serta Pejabat Tanah dan Galian Melaka.


“Kejayaan Melaka dalam sektor perlombongan REE tidak bergantung kepada sumber semata-mata, tetapi kepada tahap keupayaan kita dalam menguruskannya secara berdisiplin, teratur dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, integriti dalam pentadbiran dan pematuhan garis panduan teknikal adalah penting untuk memastikan kemampanan serta keyakinan pelabur terhadap sektor itu.


Sementara itu, Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh berkata, SOP tersebut direka untuk menyelaraskan segala proses kelulusan sambil meningkatkan aspek tadbir urus.


“SOP ini juga adalah satu langkah ke hadapan dalam mengurangkan halangan birokrasi, di samping membuka jalan kepada tadbir urus yang dibuat lebih berimpak dan cekap,” katanya.


Pihak berkuasa negeri itu bercadang untuk mengadakan lawatan penanda aras ke Perak serta simulasi lapangan bagi menilai keberkesanan SOP dan kesediaan operasi sebelum pelaksanaan.


Rizab REE Melaka dianggarkan adalah sebanyak 125,000 tan dengan nilai pasaran semasa yang dijangka boleh melebihi daripada RM8 bilion.


Kerajaan negeri itu turut berhasrat untuk meletakkan dirinya sebagai destinasi yang boleh dipercayai dan dikawal dengan baik untuk pelaburan dalam sektor mineral. - DagangNews.com