MCOM perlu pelan pemulihan tangani hutang bersih RM2.34 juta selepas hanya ada tunai RM208,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCOM perlu pelan pemulihan tangani hutang bersih RM2.34 juta selepas hanya ada tunai RM208,000

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 SeptMCOM Holdings Berhad berdepan cabaran besar memulihkan kedudukan kewangan apabila mencatatkan hutang bersih RM2.34 juta serta baki tunai dan bank hanya RM208,000.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, kedudukan itu dicatatkan setakat 30 Jun 2026, sekali gus ia terus dibayangi ketidakpastian material berkaitan kelangsungan perniagaan.

 

Ia turut merekodkan kerugian selepas cukai (LBT) RM3.618 juta bagi 2HFY26, menyebabkan kerugian terkumpul 12 bulan naik kepada RM5.248 juta, berbanding RM486,000 pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

"Prestasi ini dipengaruhi peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan kos penyusunan semula, selain kerugian RM3.746 juta daripada pelupusan beberapa anak syarikat yang dimuktamadkan," kata MCOM.

 

Justeru, dalam usaha kumpulan mengecilkan struktur serta menghentikan kerugian berterusan, ia melupuskan kepentingan dalam MCOM Messaging (Thailand), Ivalent, Streamer serta MCOM Malaysia.

 

Penjualan kesemua syarikat tersebut melibatkan pertimbangan tunai kasar hanya sekitar RM519,000, namun transaksi berkenaan turut menyebabkan kerugian akibat pelupusan mencecah RM3.746 juta.

 

Tekanan kewangan turut dilihat menerusi jumlah aset RM3.324 juta berbanding liabiliti RM5.658 juta, manakala ekuiti boleh diagihkan pula negatif RM2.338 juta atau liabiliti bersih 1.19 sen sesaham.

 

MCOM_DagangNews2026

 

"Juruaudit luar, CAS Malaysia PLT, sebelum ini pernah mengeluarkan penafian pendapat dengan ketidakpastian material berkaitan penyata kewangan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025," katanya.

 

MCOM namun giat melaksanakan pemulihan termasuk mempelbagaikan perniagaan kepada penyediaan pusat data (DC), perkhidmatan pengehosan teknologi maklumat (IT) serta pembekalan dan pajakan perkakasan.

 

Selain meneroka peluang usaha niaga yang baharu, kumpulan juga sedang mengadakan perbincangan awal dengan pelabur berpotensi bagi mendapatkan suntikan modal baharu untuk mengukuhkan aliran tunai.

 

Dari sudut operasi, hasil 2HF26 meningkat kepada RM319,000 daripada RM179,000 setahun sebelumnya, dengan segmen platform pengiklanan mudah alih menyumbang RM305,000 atau 95.61% daripada jumlah itu.

 

"Pertumbuhan MCOM dibantu kerjasama baharu projek pengiklanan digital dari Korea Selatan, sebagai  penjana hasil terbesar RM201,000, diikuti Thailand (RM104,000) dan Malaysia (RM14,000)," katanya.

 

Pada masa sama, ia mengenal pasti calon baharu untuk mengisi jawatan pengurusan kanan, manakala proses penutupan sukarela anak syarikat milik 85% di Kemboja, M-Media Co Ltd masih lagi berjalan.

 

Syarikat turut mengesahkan tuntutan mahkamah berkaitan MCATCH (L) Berhad sudah diselesaikan, namun cabaran pemulihan kekal selepas Bursa Malaysia mengenakan teguran terbuka pada 30 Januari 2026.

 

Kes itu ujar MCOM, berkaitan pelanggaran keperluan penyenaraian, selain mewajibkan semakan terhad oleh juruaudit luar terhadap dua laporan kewangan separuh tahun berturut-turut. - DagangNews.com