KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) meningkatkan kualiti capaian internet di institusi pendidikan MARA di seluruh negara.
Institusi pendidikan MARA yang terlibat meliputi Maktab Rendah Sains MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, MARA-Japan Industrial Institute, Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Poly-Tech Malaysia, Kolej Profesional MARA, Kolej MARA, Universiti Kuala Lumpur, German-Malaysian Institute dan GIATMARA.
Kerjasama strategik yang seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia Madani yang bertujuan mengukuhkan kerjasama antara MCMC dengan MARA dalam meningkatkan kualiti capaian Internet di institusi pendidikan MARA di seluruh negara.
"Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pembelajaran penuntut MARA dan membolehkan mereka memanfaatkan capaian Internet untuk urusan seharian, juga sistem penyampaian awam di seluruh institusi MARA dijangka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
"Kerjasama antara MCMC dan MARA ini juga turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi; penyediaan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik, serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan," kata Bahagian Komunikasi Korporat MCMC dan MARA dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman itu (MoU) itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Inisiatif itu merangkumi pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang, serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital.
Sebagai langkah permulaan dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi, MCMC telah menjalankan pemeriksaan status liputan Internet di Kolej Profesional MARA Ayer Molek.
Pada hujung tahun lalu, di bawah satu pelan tindakan khas, pihak syarikat telekomunikasi telah memasang Portable Base Station bagi liputan Internet sementara manakala struktur menara yang tetap akan dibina untuk memberikan liputan yang menyeluruh di KPM Ayer Molek.
Pertukaran MoU antara MCMC dengan MARA diharap dapat memperkasa infrastruktur digital MARA dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi di premis MARA dan menyokong pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi yang lebih efisien.
MoU itu juga merangkumi pembangunan modal insan digital bertanggungjawab dan berdaya saing dalam kalangan warga MARA, termasuk menjadi pengguna digital yang celik siber, serta memiliki kemahiran dalam ICT, e-dagang, dan keselamatan siber bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan. - DagangNews.com








