KUALA LUMPUR 4 Sept – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung hantaran palsu berunsur perkauman yang dimuat naik di Facebook dan TikTok baru-baru ini.
MCMC berkata, hantaran berkenaan berkait dengan insiden seorang wanita menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 31 Ogos lalu.
“Handaran itu mendakwa kononnya wanita terbabit berbangsa Cina, sedangkan ia tidak benar sama sekali.
“Rakaman keterangan dijalankan pada Rabu 3 September di tiga lokasi berasingan iaitu Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori untuk tujuan analisis forensik digital.


Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum memuat naik atau menyebarkan kandungan di media sosial bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menggugat keharmonian negara.
Tindakan tegas ini, menurut MCMC, adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menangani isu 3R – agama, kaum dan institusi diraja yang sering menjadi sasaran manipulasi di ruang digital.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan inisiden seorang wanita naik ke pentas utama dan cuba menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh.
Video tersebut tular di media sosial dan banyak hantaran dimuat naik hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet selepas ada pihak menyebarkan dakwaan berunsur perkauman terhadap identiti wanita berkenaan.
Pihak berkuasa menegaskan wanita itu sebenarnya seorang individu rakyat tempatan berketurunan Melayu yang mengalami masalah kesihatan mental dan tidak ada kaitan dengan sebarang provokasi politik atau perkauman. - DagangNews.com








