MCMC perkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian menjelang ONSA 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC perkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian menjelang ONSA 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 3 Dis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini memberi tumpuan kepada instrumen subsidiari bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

 

Pendekatan baharu yang sejajar dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) ini meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan, termasuk aspek pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan.

 

Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri.

 

 

 

 

 

 

MCMC berkata, pihaknya menjalankan pengesanan dan permohonan penurunan kandungan secara berterusan kepada penyedia perkhidmatan media sosial. 

 

Bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 November 2025, sebanyak 957 kes kandungan jelik kanak-kanak dikenal pasti, dengan 899 kandungan berjaya diturunkan, mencerminkan kadar pematuhan tinggi iaitu 94%. Platform yang dikenal pasti paling responsif ialah Tumblr, TikTok dan Facebook.

 

Dari sudut penguatkuasaan, MCMC berkata kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipertingkat secara agresif menerusi operasi bersepadu.

 

Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan CSAM di 13 lokasi dengan 37 peranti dirampas. 

 

Daripada jumlah itu, 12 individu mengaku bersalah dan dikenakan denda, dengan 13 kertas siasatan dibuka.

 

Kejayaan yang lebih besar dicapai menerusi Op Pedo 2.0 (22–30 September 2025) apabila 31 suspek ditahan di 37 lokasi di seluruh negara, melibatkan kes pelaku guru dan warga asing. 

 

Rampasan turut melonjak kepada lebih 880,000 fail, iaitu kira-kira 20 kali ganda berbanding Op 1.0, selain 82 peranti dirampas. 

 

Bagi pendakwaan, 19 individu dituduh, 17 mengaku bersalah dan dua meminta dibicarakan, dengan 29 kertas siasatan dibuka.

 

Menurut MCMC, perbandingan antara kedua-dua operasi ini menjadi penanda aras kepada peningkatan ketara keupayaan teknikal, risikan digital serta kecekapan operasi besar-besaran hasil kerjasama strategik MCMC-PDRM.

 

Dalam aspek pendidikan awam pula, MCMC berkata Kempen Internet Selamat (KIS) terus dipergiat dan setakat ini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan, melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik serta komuniti.

 

Persiapan bagi pelaksanaan penuh ONSA 2025, termasuk penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026, turut sedang dilaksanakan.

 

 

 

 

 

 

Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 bakal memberi tumpuan khusus kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa.

 

“MCMC kekal komited memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian melalui kawal selia yang tegas, penguatkuasaan bersepadu dan pendidikan masyarakat yang berterusan,” kata MCMC. - DagangNews.com