KUALA LUMPUR 12 Sept – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik Teknologi Komunikasi dan Multimedia 2025–2030 (MyTMAP2030) bersempena Bengkel ITU–MCMC Bridging the Standardisation Gap (BSG) mengenai standard dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang berlangsung di ibu negara minggu ini.
Pelan hala tuju itu akan menjadi cetak biru nasional untuk memacu pembangunan sektor komunikasi dan multimedia negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, pelan itu akan memanfaatkan teknologi baharu, menggerakkan inovasi dan mempercepatkan penerimaan digital di seluruh negara.
“Standard dan tadbir urus AI merupakan asas kepada kepercayaan, kerjasama serta keterangkuman dalam membina masa depan digital negara.
“Melalui bengkel ini dan pelancaran MyTMAP2030, Malaysia mengukuhkan komitmennya untuk membangunkan AI yang bertanggungjawab, beretika dan berimpak untuk rantau ini dan seterusnya,” kata MCMC.

Bengkel ITU–MCMC BSG yang berlangsung dari 9 hingga 12 September itu menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pemimpin industri dan pakar dari seluruh Asia-Pasifik bagi memperkukuh kerjasama dalam standard AI, tadbir urus serta transformasi digital.
Antara pengisian utama ialah sesi panel peringkat tinggi mengenai standard dan tadbir urus AI, dengan penglibatan wakil ITU, Jabatan Standard Malaysia dan pakar industri yang berkongsi pandangan tentang landskap AI, rangka kerja tadbir urus serta amalan terbaik.
Peserta turut mengikuti siri pembangunan kapasiti mengenai aktiviti AI berkaitan ITU, proses standardi antarabangsa dan program BSG.
Bengkel juga menampilkan Innovation Café dan pembentangan kajian kes yang menekankan aplikasi praktikal AI dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pengarah Telecommunication Standardisation Bureau ITU, Seizo Onoe berkata, standard yang dibangunkan ITU membantu dunia untuk terus berinovasi dan melabur dalam pembangunan digital.
“Kami membangunkan kepakaran dan kapasiti agar semua pihak dapat merealisasikan nilai ini melalui program BSG dan inisiatif seperti AI Skills Coalition.
“Saya berterima kasih kepada Malaysia atas komitmennya terhadap matlamat ini di dalam negara serta di seluruh Asia dan Pasifik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Telecommunication Development Bureau ITU, Dr Cosmas Luckyson Zavazava berkata, kerjasama dengan Malaysia mencerminkan komitmen ITU dalam menyokong negara di rantau Asia-Pasifik memperkukuh keupayaan mereka dalam bidang kecerdasan buatan.
“Usaha ini membantu merapatkan jurang standard antarabangsa dan memupuk ekosistem digital yang inklusif.
“Kami menghargai sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun atas sumbangan mereka yang berharga serta komitmen daripada rakan serantau termasuk MCMC.
“Bengkel ini akan memberi impak besar dalam memastikan manfaat AI dikongsi secara meluas, sekaligus memperkukuh sektor telekomunikasi dan ICT di Asia-Pasifik,” katanya. - DagangNews.com








