MCMC daftar automatik platform media sosial utama di bawah rangka kerja pelesenan bermula 1 Januari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC daftar automatik platform media sosial utama di bawah rangka kerja pelesenan bermula 1 Januari

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Dis – Platform media sosial dan aplikasi pemesejan utama termasuk WhatsApp, TikTok, Facebook dan YouTube akan didaftarkan secara automatik di bawah rangka kerja pelesenan Malaysia bermula 1 Januari 2026, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bertujuan meletakkan penyedia perkhidmatan berskala besar yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia di bawah pengawasan perundangan dan kawal selia negara, sekali gus memperkukuh tahap akauntabiliti serta pematuhan kepada undang-undang tempatan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut MCMC, pelaksanaan peraturan baharu itu memastikan platform global terbabit memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada kandungan berbahaya.

 

MCMC 3

 

“Inisiatif ini akan memastikan platform-platform berkenaan beroperasi dalam kerangka perundangan Malaysia secara teratur, konsisten dan berkesan,” katanya.

 

MCMC berkata, penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi seperti biasa di peringkat global dan pelaksanaan ini tidak menjejaskan operasi sedia ada platform tersebut.

MCMC 2

 

Menurut suruhanjaya itu, pendaftaran automatik dilaksanakan melalui Peruntukan Anggapan (Deeming Provision) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, yang membolehkan mana-mana platform yang memenuhi ambang lapan juta pengguna dianggap berdaftar sebagai Pemegang Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) tanpa perlu memohon lesen baharu.

 

“Bagi platform yang telah berdaftar, peruntukan baharu ini akan berkuat kuasa sebaik sahaja tempoh pendaftaran sedia ada tamat,” kata MCMC.

 

Suruhanjaya itu berkata pendekatan berkenaan selari dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform digital berskala besar dan merupakan kesinambungan kepada rangka kerja pelesenan yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun lalu.

 

MCMC

 

MCMC turut memberitahu ia akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi kepentingan semua pengguna di Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Setakat 1 Julai, tiga platform media sosial iaitu WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated telah berjaya memperoleh lesen ASP(C).

 

Menurut MCMC, platform milik Meta termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp, serta YouTube masih dalam proses pelesenan.  - DagangNews.com