MBSA jangka muktamadkan perjanjian Skim Parkir Pintar Bersepadu kira-kira 6 bulan lagi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSA jangka muktamadkan perjanjian Skim Parkir Pintar Bersepadu kira-kira 6 bulan lagi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memerlukan tempoh antara empat hingga enam bulan lagi sebelum memuktamadkan perjanjian pelaksanaan Skim Parkir Pintar Bersepadu (SIP) bagi memastikan kepentingannya terpelihara.

 

Datuk Bandar, Datuk Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya sedang meneliti perjanjian tiga pihak melibatkan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Selmax Sdn Bhd dan MBSA selepas mengeluarkan surat setuju terima (SST) kepada pengendali konsesi berkenaan.

 

“SST merupakan fasa awal, manakala perjanjian yang akan ditandatangani kelak akan memperincikan tanggungjawab setiap pihak serta agihan hasil. 

 

“Proses ini kita jangka boleh dimuktamadkan dalam tempoh empat hingga enam bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penuh MBSA di Shah Alam.

 

Tambahnya, pelaksanaan SIP di Shah Alam telah pun bermula dan MBSA diberi jaminan bahawa kutipan hasil parkir tidak akan jatuh di bawah paras semasa yang berjumlah kira-kira RM27 juta setahun.

 

Sementara itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan ia hanya mengeluarkan surat setuju terima kepada pengendali baharu SIP dan sedang memantau kutipan parkir sepanjang tempoh peralihan.

 

Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata, MPS sebelum ini merekodkan kutipan purata RM330,000 sebulan bagi 15,400 petak parkir termasuk 58 petak dengan had masa dua jam.

 

“Kami menjangkakan data lebih tepat berhubung kutipan di bawah SIP dapat diperoleh menjelang September selepas tempoh peralihan berakhir,” katanya.

 

Penjelasan itu turut menjawab persoalan yang ditimbulkan Ahli Majlis MPS, U Chin Ong sebelum itu, mengenai jumlah kutipan parkir pada Ogos kerana bimbang terdapat penururunan di bawah pelaksanaan SIP.

 

Setakat ini, tiga pihak berkuasa tempatan iaitu MBSA, MPS dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mula melaksanakan sistem SIP pada 1 Ogos lalu.

 

Di bawah model operasi tersebut, hasil kutipan parkir diagihkan sebanyak 50% kepada konsesi, 40% kepada PBT manakala baki 10% disalurkan kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI). - DagangNews.com