MBM Resources catat penurunan untung, namun dividen kekal menarik - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBM Resources catat penurunan untung, namun dividen kekal menarik - penganalisis

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pasaran mula berhati-hati menilai semula prospek masa depan MBM Resources Bhd (MBMR) selepas syarikat itu mengumumkan keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025, yang menunjukkan penurunan keuntungan dan pendapatan.

 

Dalam tempoh itu, keuntungan bersih MBMR turun 11%, manakala pendapatan jatuh 7% berbanding suku yang sama tahun lalu, susulan jualan kenderaan yang lebih rendah.

 

MBMR terlibat dalam pelbagai bidang dalam industri automotif, termasuk mengedar, memasang dan membuat kenderaan penumpang dan komersial serta alat ganti. 

 

Syarikat juga merupakan pengedar utama bagi model Perodua.

 

Walaupun prestasi suku pertama dianggap sejajar dengan jangkaan pasaran, penganalisis memberi amaran, jualan kenderaan dijangka kekal perlahan sepanjang tahun ini.

 

Beberapa firma penyelidikan masih mengekalkan saranan 'neutral' untuk saham MBMR, tetapi menyarankan pelabur supaya terus memegang saham tersebut kerana ia menawarkan pulangan dividen yang menarik, terutamanya selepas harga saham turun 8% setakat tahun ini.

 

RHB Research turut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran RM5.55 dan tidak mengubah unjuran keuntungan bagi FY25, kerana keputusan kewangan sama seperti jangkaan.

 

"Walaupun kami jangka jualan dan keuntungan lebih perlahan tahun ini, saham ini masih patut dipegang kerana dividen FY25 hingga FY26 dijangka mencecah 9%," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research juga mengekalkan saranan 'neutral', tetapi menurunkan harga sasaran saham MBMR kepada RM5.75 daripada RM5.87. 

 

Firma penyelidikan itu menjangka, jualan Perodua akan turun 3.7% tahun ini memandangkan projek naik taraf yang sedang dijalankan di kilang pengeluaran.

 

Ia meramalkan, jualan kenderaan premium seperti Volvo dan Volkswagen oleh MBMR akan berdepan persaingan lebih sengit dalam pasaran.

 

CIMB Research pula mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM5.80 dan menjangka Perodua akan menjual 350,000 unit kenderaan tahun ini, hampir sama dengan sasaran MBMR iaitu 345,000 unit.

 

Menurutnya, permintaan terhadap model utama Perodua masih kukuh dan ia dijangka membantu jualan. 

 

Selain itu, Perodua merancang untuk melancarkan dua model baharu tahun ini iaitu satu model serba baharu dan satu versi baharu model sedia ada (facelift).

 

"Kami juga meramalkan jumlah jualan industri automotif negara (TIV) akan menurun 7% kepada 760,000 unit tahun ini, berbanding tahun lalu," jelas CIMB Research.

 

Tambahnya, MBMR juga berada di landasan yang kukuh menjelang pelancaran kereta elektrik (EV) pertamanya hujung tahun ini.

 

"Syarikat juga memberi tumpuan kepada rancangan jangka panjang seperti menambah baik dan menaik taraf pusat jualan untuk keselesaan pelanggan, membuka cawangan baharu di kawasan strategik dan menambah bilangan pengedar bagi mengukuhkan rangkaian perniagaan.

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham MBMR dengan harga sasaran RM6.90, kerana yakin syarikat mampu terus menjana keuntungan yang kukuh.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, MBMR mempunyai kelebihan sebagai pengedar terbesar Perodua, mempunyai 23% pegangan saham dalam syarikat itu, terlibat dalam pengeluaran kenderaannya dan mampu memberi pulangan dividen yang menarik kepada pelabur. - DagangNews.com