KUALA LUMPUR 7 Ogos - Mayu Global Group Bhd dan dua anak syarikatnya - Progerex Sdn Bhd dan SMPC Industries Sdn Bhd - telah didatangi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berkaitan dakwaan penyeludupan logam sekerap haram.
Kumpulan itu berkata, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Mayu dan anak-anak syarikatnya terlibat dalam perniagaan pembuatan dan pemprosesan gegelung keluli, tiub, jalur keluli, perabot keluli, bumbung logam, dek lantai, logam berlubang serta kitar semula industri logam sekerap.
Kumpulan itu berkata, mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti import atau eksport berkaitan bahan sekerap keluli, kerana operasi perniagaan kumpulan adalah secara domestik sepenuhnya.
“Lembaga pengarah ingin memberi jaminan kepada para pemegang kepentingan, tiada gangguan terhadap operasi perniagaan Kumpulan, dan siasatan ini tidak memberi sebarang kesan kewangan atau operasi yang material ke atas Kumpulan Mayu.
“Lembaga pengarah memandang serius perkara ini dan sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan syarikat, pemegang kepentingan serta memastikan kelangsungan perniagaan.
“Kumpulan Mayu kekal komited untuk menegakkan tahap tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang tertinggi serta akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com








