KUALA LUMPUR 18 Dis – RHB Bank Bhd tidak lagi menjadi pemegang saham besar di Vantris Energy Bhd selepas pemindahan 72.35 juta saham atau 3.16% pegangan oleh RHB Islamic Bank Bhd kepada Kumpulan Maybank.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Malayan Banking Bhd memperoleh 21.1 juta saham manakala Maybank Islamic Bhd mengambil alih 51.25 juta saham.
RHB Bank memaklumkan baki 92.21 juta saham atau 4.03% yang sebelum ini dimiliki oleh RHB Islamic Bank telah dipindahkan kepada RHB Bank.
Dalam pengumuman berasingan, Maybank berkata unitnya, Maybank Islamic telah menjual 92.02 juta saham Vantris Energy pada 16 Dis.
Selepas penjualan itu, Maybank memegang 442.78 juta saham, mewakili pegangan 19.36% dalam syarikat tersebut.
Pada 26 Sept 2025, tiga bank – Maybank, RHB dan CIMB Group Holdings Bhd muncul sebagai pemegang saham besar Vantris Energy yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, selepas pelaksanaan pelan regularisasi kumpulan minyak dan gas itu.
Terdahulu, Maybank mendedahkan bahawa Vantris Energy telah mengeluarkan 462.45 juta saham baharu dan 498.48 juta Sekuriti Hutang Islam Boleh Tebus dan Boleh Tukar (RCUIDS) kepada Maybank dan Maybank Islamic sebagai sebahagian daripada penyelesaian liabiliti Sapura TMC Sdn Bhd.
Langkah itu memberikan Maybank pegangan 20.27% dalam Vantris Energy.
RHB Islamic Bank pula menerima 164.56 juta saham dan 177.39 juta RCUIDS, yang diterjemahkan kepada pegangan tidak langsung sebanyak 7.21% bagi RHB.
CIMB juga memperoleh sekuriti baharu dengan CIMB Bank Bhd menerima 208.93 juta saham dan 225.21 juta RCUIDS manakala CIMB Islamic Bank Bhd mengambil alih 67.73 juta saham dan 73.01 juta RCUIDS, memberikan CIMB pegangan gabungan sebanyak 12.13%.
Namun, pada bulan November, CIMB Islamic Bank menjual pegangan 2.96% dalam Vantris Energy, mengurangkan pegangan CIMB kepada 9.139%.
CIMB dan RHB mengesahkan bahawa saham-saham tersebut dikeluarkan pada harga 80 sen setiap satu, dengan RCUIDS boleh ditukar pada asas satu-untuk-satu menjadi saham.
Vantris Energy menerima kelulusan pada bulan Jun lalu untuk keluar dari status PN 17 yang melibatkan langkah mengurangkan kerugian terkumpul, penggabungan saham pada 20:1 dan pengukuhan struktur modal.
Penyusunan semula ini dijangka mengurangkan pinjaman daripada RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion serta menurunkan kos faedah tahunan sebanyak lebih RM500 juta.
Suntikan modal RM1.1 bilion daripada Kementerian Kewangan melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) melalui sekuriti pinjaman boleh tebus boleh tukar dijangka menjadikan MDH pemegang saham terbesar dengan lebih 33% selepas penukaran, manakala pegangan Permodalan Nasional Bhd dijangka susut, lebih sedikit 5% dalam pelaksanaan tersebut.
Selepas mencatatkan paras terendah sepanjang masa pada 22 sen pada 9 Dis, saham Vantris Energy mencatatkan pemulihan mendadak, lebih daripada dua kali ganda kepada 45.5 sen menjelang 15 Disember 2025.
Saham itu ditutup satu sen atau 2.3% lebih tinggi pada 44.5 sen pada 17 Disember 2025 menilai syarikat itu pada RM1.02 bilion. - DagangNews.com








