KUALA LUMPUR 31 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan pendapatan IGB REIT pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) didorong peningkatan hasil daripada perbelanjaan cuti hujung tahun dan sektor pelancongan.
Katanya, pengambilalihan pusat beli-belah Mid Valley Southkey dijangka selesai seperti yang dirancang pada 4QFY25 dengan mengambil kira sumbangan hasil hartanah bersih (NPI) selama 1.5 bulan bagi unjuran tahun kewangan 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu berkata, Southkey dijangka menyumbang kira-kira 29% daripada NPI tahun kewangan 2026 (FY26).
"IGB REIT juga menjangkakan semakan semula sewa dalam julat pertengahan satu digit, disokong momentum penyewaan yang sihat dan kestabilan penyewa utama," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB menurunkan penarafan saham ini kepada “pegang” berbanding penarafan “beli” sebelum ini.
Namun begitu, ia telah menaikkan harga sasaran berdasarkan model diskaun dividen kepada RM2.83 daripada RM2.56 selepas mengunjurkan anggaran kewangan ke tahun kewangan 2026 untuk mencerminkan sumbangan penuh daripada segmen Mid Valley Southkey.
Southkey dijangka meningkatkan pendapatan bermula dari tahun kewangan 2026 (FY26).
“Walaupun kami masih menyukai aset pusat beli-belah premium milik IGB REIT, kadar penghunian penuh dan asas pendapatan yang kukuh, kami melihat potensi kenaikan yang terhad buat masa ini, memandangkan pergerakan harga saham yang telah meningkat lebih 10% dalam sebulan lalu.
“Pada paras harga unit semasa, IGB-REIT diniagakan pada hasil bersih unjuran sebanyak 3.8% untuk FY25 dan 4.4% untuk FY26,” katanya.
Sementara itu, CGS International mengekalkan penarafan “pegang” terhadap IGB REIT dengan harga sasaran lebih tinggi berasaskan model diskaun dividen sebanyak RM2.64 seunit.
“Walaupun kami tetap positif terhadap keupayaan IGB REIT untuk mengekalkan kadar penghunian yang tinggi dan memacu pertumbuhan dividen yang konsisten, unjuran hasil bagi FY26 sebanyak 4.9% masih ketinggalan berbanding purata sektor sebanyak 5.6%.
“Ini mungkin mengehadkan potensi kenaikan dalam jangka masa terdekat, pada pandangan kami.
“Faktor peningkatan termasuk jualan penyewa yang lebih kukuh dan penyempurnaan pengambilalihan Southkey lebih awal daripada jangkaan, manakala risiko penurunan termasuk tidak diperbaharuinya pajakan sedia ada serta kenaikan kadar faedah yang tidak dijangka," katanya.- DagangNews.com







