KUALA LUMPUR 4 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.3% daripada 4.9% pada 2025 bagi mencerminkan kesan langsung tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) terhadap saluran perdagangan luar.
Katanya, perkara itu turut mengambil kira pengecualian terhadap produk seperti semikonduktor, yang merupakan eksport utama Malaysia ke AS.
Firma penyelidikan itu berkata, pada 2024, Malaysia menyumbang 23.8% daripada jumlah import litar bersepadu (IC) AS dan 14.6% daripada jumlah import peranti semikonduktor AS.
"Di samping itu, pendirian "berunding" bukan "membalas" Malaysia mengelakkan risiko peningkatan melalui tindakan membalas perbutan itu kerana ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan.
"Pada masa yang sama, langkah meningkatkan pendapatan pengguna domestik (seperti: gaji perkhidmatan awam dan kenaikan pencen; kenaikan gaji minimum; peningkatan dasar gaji progresif; peruntukan yang lebih besar untuk pemberian tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah) akan menyokong perbelanjaan pengguna," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Trump kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia
Terdahulu, Presiden AS ke-47 itu menerbitkan senarai rakan dagangan terbesar negara dan tarif timbal balik yang akan dikenakan AS ke atas mereka, dengan Malaysia amat tinggi dalam senarai itu.
Secara khususnya, Malaysia berada di tempat ke-11 dalam senarai tersebut, yang seterusnya mendedahkan, AS akan mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas negara ini.
Menurut Donald Trump, ini adalah sebagai tindak balas terhadap tarif 47% Malaysia yang dikenakan kepada AS, termasuk manipulasi mata wang dan halangan perdagangan, seperti di Rumah Putih.
Maybank IB berkata, pelaburan akan tertakluk kepada ketidatentuan yang lebih tinggi terutamanya pelaburan langsung asing (FDI) berkaitan dengan perdagangan dan lencongan pelaburan di bawah strategi "China+" yang telah memberi manfaat kepada Malaysia.
Bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif dan penyediaan insentif untuk pelaburan dalam peralihan tenaga meningkatkan kerumitan ekonomi terutamnya dalam sektor teknologi seperti semikonduktor, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) selain Zon Ekonomi Khas Johor -Singapura (JS-SEZ) serta pelaburan domestik syarikat berkaitan kerajaan di bawah beberapa Program GEAR-uP.
Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran inflasi pada 2.3% untuk tahun ini dan 2.5% untuk tahun depan, sebahagian besarnya disebabkan dasar Malaysia yang tidak akan memberikan tarif balas ke atas import dari AS sebagai balasan kepada tarif timbal balik 24% yang dikenakan.
Berbanding kadar kadar inflasi 2024 dan dua bulan pertama 2025, unjuran inflasi 2025-2026 semasa mencerminkan risiko lebih tinggi dari pertengahan tahun selepas mengambil kira faktor dasar domestik yang boleh menjejaskan harga pengguna seperti panyasaran semula subsidi RON95 dan cadangan kenaikan tarif elektrik.
"Berkenaan rasionalisasi subsidi RON95 yang dirancang pada pertengahan 2025, maklumat terkini ialah hanya kumpulan berpendapatan 5% teratas tidak layak mendapat subsidi, menjadikan majoriti pengguna terus mendapat manfaat daripada subsidi bahan api itu.
"Bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM), kami mengubah unjuran kami daripada prospek OPR kekal stabil pada 3.00% kepada julat ramalan 2.75%-3.00% untuk akhir 2025 dan akhir 2026," katanya.- DagangNews.com








