Maybank IB optimis terhadap prospek Sunway REIT dipacu sumbangan penuh daripada aset baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB optimis terhadap prospek Sunway REIT dipacu sumbangan penuh daripada aset baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) optimis terhadap prospek Sunway REIT disokong sumbangan penuh daripada aset baharu dan inisiatif penambahbaikan aset (AEI) yang sedang dilaksanakan seperti fasa  Sunway Carnival serta projek pembangunan di Sunway Pier.

 

Katanya, segmen perindustrian terus menyumbang pendapatan yang stabil, manakala segmen hospitaliti dijangka pulih pada suku kedua 2025 dengan peningkatan aktiviti MICE dan peningkatan kehadiran pelancong.

 

"Pihak pengurusan sedang giat menangani tekanan kos penyewa yang berkaitan dengan SST dan memberi tumpuan kepada pengekalan penyewa, terutamanya dalam segmen pejabat, sambil mengekalkan fokus terhadap kadar penghunian tinggi dan pertumbuhan runcit yang boleh ditingkatkan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, hasil suku tahunan meningkat 23% kepada RM218.9 juta daripada RM178.6 juta tahun lalu manakala untung bersih naik kepada RM104.32 juta berbanding RM86.9 juta pada 1QFY24.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan hartanah bersih Sunway REIT pada 1QFY25 naik kepada RM130.5 juta

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi segmen runcit melonjak 34% tahun ke tahun, didorong semakan semula sewa yang positif dan sumbangan daripada aset baharu yang diperoleh, termasuk Sunway 163 Mall, enam pasar raya besar, dan Sunway Kluang Mall.

 

Katanya, kadar penghunian runcit mencapai paras tertinggi sebanyak 99%, manakala kawasan Oasis di S.Pyramid Mall mencapai penghunian penuh, dengan kadar sewa meningkat dua kali ganda.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami buat masa ini, kerana percaya kos kewangan akan meningkat apabila pemerolehan aset menjadi kenyataan pada suku tahun akan datang.

 

"Cadangan pelupusan kampus Sunway University and College (RM613 juta) disasarkan siap pada 2H25, tertakluk kepada kelulusan negeri, manakala pemerolehan AEON Mall Seri Manjung dijangka siap menjelang Ogos
2025," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.13 sesaham. - DagangNews.com