KUALA LUMPUR 19 Dis – Maybank Investment Bank Research memulakan liputan ke atas Critical Holdings Bhd (CHB) dengan saranan beli dan harga sasaran RM1.14 sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 38% berbanding harga semasa RM0.83.
Firma penyelidikan itu berkata CHB dijangka mendapat manfaat langsung daripada lonjakan pelaburan berteknologi tinggi di Malaysia, khususnya dalam pembinaan fasiliti kritikal seperti pusat data dan kemudahan semikonduktor, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“CHB berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan fasa kitaran pelaburan ketiga Malaysia, disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi serta pelaburan besar dalam pusat data dipacu kecerdasan buatan (AI),” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
CHB merupakan penyedia khusus perkhidmatan mekanikal, elektrikal dan proses utiliti (MEP) bagi fasiliti kritikal termasuk bilik bersih, bilik loji dan pusat data yang memerlukan tahap kebolehpercayaan dan operasi tanpa gangguan yang tinggi.
Menurut Maybank IBG, momentum pertumbuhan hasil CHB ketara dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 57% bagi tempoh 2020 hingga 2024, mengatasi pertumbuhan CAGR 23% pelaburan swasta yang diluluskan di Malaysia dalam tempoh sama.
“Kehadiran operasi CHB di Selangor, Pulau Pinang dan Johor turut meletakkannya dalam koridor industri berteknologi tinggi paling aktif di negara ini, sekali gus membolehkan kumpulan mengambil projek yang lebih besar dan kompleks.
“Purata saiz kontrak kini meningkat kepada RM30 juta hingga RM80 juta, berbanding RM10 juta hingga RM20 juta sebelum penyenaraian,” kata Maybank IB.
Firma penyelidikan itu turut berpandangan bahawa peralihan CHB ke arah projek pusat data tidak berlaku terlalu lewat dalam kitaran, memandangkan Malaysia kini muncul sebagai antara pasaran pusat data berkembang pesat di Asia Pasifik, didorong kekangan kapasiti dan tanah di Singapura.
“Pusat data berasaskan AI lazimnya memerlukan sistem elektrik dan penyejukan yang lebih kompleks serta berketumpatan tinggi, yang meningkatkan nilai kerja MEP bagi setiap megawatt.
“Keadaan ini dijangka membolehkan CHB memperoleh kontrak bernilai lebih tinggi berbanding pusat data konvensional,” kata firma tersebut.
Setakat ini, CHB telah menyiapkan dua projek pusat data bernilai RM9.4 juta dan sedang melaksanakan tiga projek pusat data bernilai keseluruhan RM100.4 juta.
Industri semikonduktor pula kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, disokong oleh peningkatan pelaburan global dalam AI, infrastruktur awan dan automasi.
Bagi prestasi kewangan, keuntungan teras CHB berkembang pada kadar EPS CAGR tiga tahun sebanyak 49% bagi FY21 hingga FY24.
Maybank IBG mengunjurkan keuntungan teras berkembang pada CAGR 7% bagi tempoh FY6/25 hingga FY6/28, disokong oleh pengisian semula buku pesanan daripada projek pusat data dan semikonduktor.
CHB juga memiliki kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai bersih RM82.6 juta setakat Jun 2025, bersamaan kira-kira 25% daripada permodalan pasaran, yang memberi fleksibiliti untuk pembiayaan pertumbuhan dan pembayaran dividen.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk kebergantungan kepada sektor terpilih seperti pusat data dan semikonduktor, kelewatan projek, persaingan yang meningkat serta kecairan dagangan saham yang masih rendah susulan peralihan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com








