KUALA LUMPUR 15 Dis – Maya Jaya Sdn. Bhd melantik Binastra Atlantic Sdn. Bhd, konsortium antara Binastra Green Energy Sdn. Bhd. dan Atlantic Blue Sdn. Bhd (anak syarikat Solarvest Holdings Berhad) sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi tiga projek tenaga solar berskala besar di bawah program Solar Skala Besar 5 (LSS5).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata, ketiga-tiga projek tersebut melibatkan pembangunan loji fotovolta solar dan kemudahan sambungan dengan kapasiti keseluruhan 56.5MWac, dengan nilai gabungan projek berjumlah RM171.7 juta.
“Projek berkenaan terletak di dua lokasi, iaitu satu tapak di Kuala Langat, Selangor dan dua tapak di Sungai Lalang, Kedah.
“Binastra Atlantic ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) bagi pelaksanaan projek berkenaan, dengan Binastra Green Energy memegang 51% kepentingan ekuiti, manakala Atlantic Blue memegang baki 49%.
“Di bawah kerjasama ini, Binastra akan bertanggungjawab terhadap pembiayaan dan pengawasan strategik, manakala Solarvest menerajui pelaksanaan teknikal projek,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, penganugerahan kontrak tersebut merupakan pencapaian penting bagi kumpulan itu, sekali gus menandakan kemenangan projek solar kedua Binastra setakat ini.
“Projek berkenaan memperkukuh hala tuju syarikat untuk mengembangkan portfolio tenaga hijau dan membina saluran projek yang lebih kukuh.
“Kami menghargai kepercayaan Maya Jaya terhadap keupayaan kami untuk menyempurnakannya projek tenaga hijau berskala besar dan berteknologi maju ini.
“Kami komited untuk menyokong Maya Jaya dalam merealisasikan projek ini serta menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah masa depan tenaga rendah karbon yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Bagi Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong pula, kerjasama strategik dengan Binastra menggabungkan kekuatan saling melengkapi kedua-dua pihak dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga bersih negara.
“Projek LSS5 ini turut mengukuhkan buku pesanan Solarvest, yang kini mencecah RM1.7 bilion.
“Ke hadapan, Solarvest berhasrat untuk terus menerajui fasa seterusnya pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan memanfaatkan teknologi inovatif serta pelaksanaan berkualiti tinggi bagi menghasilkan impak alam sekitar, ekonomi dan sosial yang mampan,” katanya. - DagangNews.com








