KUALA LUMPUR 16 April - Matrix Concepts Holdings Bhd menyusun semula strategi pertumbuhannya termasuk meningkatkan sumbangan pendapatan luar Negeri Sembilan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Langkah itu turut melibatkan penyusunan semula pelaburan luar negara dengan perancangan keluar dari pasaran Australia bagi membolehkan peruntukan semula modal secara lebih efisien.
Menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), pemaju hartanah itu kini aktif melaksanakan inisiatif pertumbuhan baharu meskipun berdepan kelembapan sementara dalam prestasi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 yang disebabkan ketidakpadanan pengiktirafan hasil.
Syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan hasil dari luar Negeri Sembilan kepada 30% dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Ketika ini, lebih 90% pendapatannya masih bergantung kepada negeri tersebut.
"Fokus awal Matrix Concepts adalah projek baharu di Lembah Klang. Syarikat baru-baru ini memperoleh tiga syarikat sasaran yang memiliki projek aktif di Sepang dan Banting, sekali gus membuka laluan segera kepada pembangunan sedia ada serta potensi masa depan," katanya dalam satu nota kajian.
Syarikat turut merancang untuk mengoptimumkan nilai tanah pegangan sedia ada di Puchong dan Damansara, dengan pelancaran disasarkan menjelang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27).
Strategi itu dijangka memperluaskan jejak geografi Matrix Concepts, selain memperkukuhkan daya tahan pendapatan jangka panjang.
Dalam masa sama, projek mega Malaysia Vision Valley (MVV) seluas 971.24 hektar yang 85% dimiliki syarikat, akan dimulakan dengan pembangunan tanah industri sebelum diperluaskan kepada segmen komersial dan kediaman.
Projek itu dianggarkan mempunyai GDV RM12.75 bilion.
"Produk industri lebih cepat dibangunkan dan mudah dijana. Setakat ini, RM300 juta telah dijana daripada jualan 48.56 hektar tanah industri dengan 40% daripadanya dijangka diiktiraf menjelang FY26," jelas HLIB.
Dengan margin bersih sekitar 30%, nilai sumbangan keuntungan selepas cukai dianggarkan mencecah RM30.6 juta.
Turut menjadi pemacu pertumbuhan ialah sektor penjagaan kesihatan. Matrix Concepts kini meraih manfaat daripada usaha sama dengan pemilik Pusat Perubatan Mawar sejak 2019, dengan kontrak pengurusan bernilai RM27 juta sehingga 2049 dan pegangan 92% keuntungan bersih.
Perancangan bagi FY26 termasuk penambahan kapasiti katil kepada 109 unit, bilik pembedahan kepada tiga, dan pertambahan bilangan doktor pakar kepada 31 orang.
Bagi operasi luar negara, syarikat merancang untuk keluar sepenuhnya dari pasaran Australia selepas projek M333 St Kilda di Melbourne siap sepenuhnya pada akhir tahun ini. Setakat Disember lalu, kadar pengambilan untuk projek bernilai RM289.9 juta GDV itu berada pada paras 35.4%.
"Langkah ini dibuat setelah syarikat menilai semula pulangan pelaburan di Australia yang didapati kurang memberangsangkan berbanding operasi domestik,” katanya.
Syarikat juga merancang untuk menjual salah satu daripada dua menara pejabat dalam projek Menara Syariah di Jakarta yang siap pada akhir 2023. Matrix memiliki 30% pegangan dalam projek itu.
Satu menara telah menerima komitmen penyewaan sebanyak 75% daripada penyewa tunggal, manakala satu pertiga daripada menara kedua kini dalam fasa akhir memuktamadkan jualan.
HLIB mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Matrix Concepts dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.73 daripada RM1.63 sebelumnya.- DagangNews.com








