Master Tec jalin kerjasama strategik dengan SSSB teroka pasaran Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Master Tec jalin kerjasama strategik dengan SSSB teroka pasaran Sarawak

Master Tec memanfaatkan kepakaran SSSB melalui MoU yang dimeterai di Sarawak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – Master Tec Group Bhd, peneraju dalam pembuatan dan pengedaran kabel kuasa, kawalan dan instrumentasi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Senari Synergy Sdn Bhd (SSSB) bagi memperluas kehadirannya di Borneo sekaligus menandakan kemasukan sulung kumpulan itu ke dalam pasaran Sarawak.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa berkata, kerjasama itu membuka ruang kepada penubuhan kemudahan pembuatan kabel baharu di Sarawak, yang akan bertindak sebagai hab strategik bagi pengeluaran produk disesuaikan dengan keperluan pasaran serantau. 

 

“Langkah ini akan meningkatkan rantaian bekalan, kecekapan operasi dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan."

 

“MoU ini adalah satu peristiwa penting dalam mengukuhkan kehadiran Master Tec di Sarawak dan menyokong keperluan tenaga serta telekomunikasi yang semakin berkembang di rantau ini.

 

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan SSSB, satu nama yang disegani dalam landskap tenaga dan logistik Sarawak,” katanya

 

Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan disaksikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Haji Hazland Abang Hipni.

 

Kerjasama itu akan menyaksikan pengedaran penuh rangkaian kabel Master Tec termasuk kabel kuasa, kawalan, instrumentasi dan gentian optik  merentasi sektor utiliti, telekomunikasi, minyak dan gas serta infrastruktur di seluruh Borneo.

 

Melalui SSSB, Master Tec akan memanfaatkan ekosistem dan kepakaran tempatan bagi membawa produk kabel berkualiti tinggi lebih dekat kepada pengguna akhir di rantau ini.

 

SSSB, yang ditubuhkan pada 2010 memiliki dan mengendalikan dua daripada tiga terminal simpanan petroleum utama di Sarawak yang terletak di Kuching dan Tanjung Manis. 

 

Aktiviti syarikat merangkumi pengurusan terminal dan penyimpanan bagi petroleum, gas serta tenaga boleh diperbaharui, selain pembangunan pelabuhan dan industri ringan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SSSB, Datuk Jefri Ahmad Tambi berkata, gabungan kepakaran teknikal Master Tec dan pengaruh perniagaan SSSB akan menjana sinergi kukuh serta membawa nilai jangka panjang kepada Sarawak.

 

“Kerjasama ini sejajar dengan visi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga serantau di samping membina asas perindustrian dan memperkukuh rantaian nilai tenaganya. 

 

“Master Tec menyatakan komitmennya untuk menyokong aspirasi tersebut sebagai sebahagian daripada trajektori pertumbuhan jangka panjang Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com