Masteel, Kelington dan Utar laksana kajian inovasi hijau pengeluaran keluli ultra-rendah karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Masteel, Kelington dan Utar laksana kajian inovasi hijau pengeluaran keluli ultra-rendah karbon

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malaysia Steel Works (KL) Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ace Gases Marketing Sdn Bhd untuk melaksanakan teknologi penangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) inovatif bagi memperkenalkan inovasi hijau baharu dalam fasiliti pengeluaran keluli ultra-rendah karbonnya.

 

Ace Gases merupakan anak syarikat milik penuh Kelington Group Berhad, manakala Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) juga terlibat dalam kerjasama itu.

 

Masteel berkata, ketiga-tiga pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi mengenal pasti teknologi penangkapan karbon dioksida (CO₂) yang paling sesuai untuk industri pembuatan keluli serta meneroka kaedah penggunaan atau penyimpanan karbon yang ditangkap.

 

Kajian itu dijangka membantu Masteel mengurangkan lagi jejak karbonnya serta memenuhi permintaan industri terhadap pengeluaran keluli yang lebih lestari.

 

Pada fasa seterusnya, kajian itu akan memberi tumpuan kepada pengoptimuman penggunaan tenaga dan kecekapan operasi Masteel, di samping meneroka potensi penjanaan hasil daripada karbon CO₂ yang ditangkap, termasuk melalui dagangan Unit Karbon Diversifikasi (VCU).

 

Naib Pengerusi Eksekutif Masteel, Datuk Sri Hean Leng berkata, ketika mereka beralih ke arah ekonomi rendah karbon, Masteel sedang melaksanakan teknologi terkini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keluli hijau.

 

"Kerjasama dalam teknologi CCUS ini mencerminkan pendekatan proaktif kami dalam menangani cabaran perubahan iklim, sekali gus memastikan kelestarian operasi jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kellington Group, Ir. Raymond Gan berkata, gabungan kepakaran teknikalnya akan membolehkan pembangunan karbon berskala bagi menyokong matlamat nyahkarbon Malaysia.

 

"Ia membolehkan kami mengembangkan keupayaan pemulihan gas dan pengurusan karbon dalam industri keluli untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pembuatan negara," katanya.

 

Di bawah kerjasama itu, Masteel akan menyumbangkan pandangan operasi dan infrastruktur loji, manakala Kelington melalui Ace Gases akan menyediakan kepakaran teknikal dalam penyelesaian penangkapan dan penyimpanan CO₂.

 

Utar pula akan menyumbang kepakaran penyelidikan akademik dan analisis terhadap penggunaan karbon hasil penangkapan di tapak.- DagangNews.com