KUALA LUMPUR 24 April - Citta Worldwide Sdn Bhd bekerjasama dengan Marriott International Inc bagi membuka hotel jenama antarabangsa pertama di Seremban, Negeri Sembilan iaitu Aloft Hotel menjelang akhir 2025.
Hotel itu akan menjadi sebahagian daripada pembangunan komersial bersepadu yang menggabungkan ruang runcit dan pejabat di pusat bandar Seremban, dan akan dihubungkan terus dengan Pusat Membeli-belah Terminal 1 sedia ada.
Ia juga terletak dalam jarak berjalan kaki ke Terminal 1, Stesen keretapi Seremban KTM, dan Stesen Keretapi Seremban Sentral yang bakal dibuka.
Naib Presiden Pembangunan Marriott International — Asia Pasifik kecuali China, Andree Susilo berkata, hotel tersebut akan memperkenalkan pengalaman hospitaliti yang segar kepada bandar itu, memenuhi keperluan pengembara moden yang mencari gaya, inovasi, dan kemudahan.
Aloft Seremban dijangka menampilkan 173 bilik dan suite, serta pelbagai kemudahan termasuk restoran sepanjang hari dengan dapur separa terbuka, kedai Grab & Go, dan Bar W XYZ jenama tersebut.
Ruang mesyuarat dengan keluasan 300 meter persegi turut disediakan, selain kolam renang luar sepanjang 25 meter dan pusat kecergasan.
Pengerusi Citta Worldwide, Datuk Seri Chai Kee Kan berkata, Aloft Seremban akan mentakrifkan semula landskap hospitaliti di Seremban, menawarkan pengalaman penginapan yang dinamik dan bergaya seiring dengan perkembangan profil bandar ini.
Beliau juga merupakan pengasas dan pengerusi eksekutif rangkaian kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.
Kerjasama itu selaras dengan inisiatif negara seperti Vision Valley 2.0 dan rancangan National Growth Conurbation yang lebih luas.- DagangNews.com








