Marine & General beli kapal JM Sutera 9 daripada Muhibbah Marine Engineering berharga RM55.19 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Marine & General beli kapal JM Sutera 9 daripada Muhibbah Marine Engineering berharga RM55.19 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Marine & General Bhd menerusi M&G Tankers Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd bagi membeli kapal JM sutera 9 berharga RM55.19 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pembelian kapal JM Sutera 9 adalah sebahagian daripada strategi pengoptimuman kapal bagi perniagaan bahagian hiliran dan dijangka meningkatkan keupayaannya untuk bersaing dalam perniagaan logistik marin.

 

Katanya, ia merupakan kapal tangki produk petroleum bersih yang dibina di  Malaysia pada 2022 dengan jangka hayat selama 25 tahun dan kini disewa oleh M&G Tankers di bawah sewaan bot kosong.

 

Pertimbangan pembelian dibuat atas dasar "penjual sanggup pembeli bersedia", selepas mengambil kira harga jualan asal kapal itu sebanyak RM65 juta pada 2022, umur semasanya kira-kira tiga tiga tahun dan potensi pendapatan kapal itu.

 

"Marine & General bercadang menggunakan sehingga RM25 juta daripada dana yang dijana secara dalaman untuk pembelian itu manakala baki akan dibiayai menerusi pinjaman bank," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu menerusi bahagian hilirannya terlibat dalam penyediaan sewa kapal pembawa cecair pukal kepada industri petrokimia dan oleokimia. Bahagian ini kini mengendalikan empat kapal tangki kimia dan satu kapal tangki produk petroleum bersih.

 

Katanya, prospek komersial kapal tangki dalam jangka sederhana kekal positif memandangkan aktiviti ekonomi yang mampan dan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

 

Pembelian kapal itu dijangka memberi kesan positif ke atas pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025 dan masa hadapan.

 

Melainkan keadaan yang tidak dijangka, pembelian itu dijangka selesai pada penghujung tahun kewangan semasa. - DagangNews.com