KUALA LUMPUR 16 Jun - Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 5% ke atas bahan mentah getah seperti getah asli dan getah nitril seperti yang diumumkan, baru-baru ini.
MARGMA berkata, cukai itu akan menaikkan kos pengeluaran dengan ketara kerana bahan mentah tersebut adalah komponen penting dalam pembuatan sarung tangan.
Industri sarung tangan merupakan penyumbang eksport terbesar dalam sektor produk getah negara dengan nilai RM15.41 bilion tahun lalu, serta menyokong lebih 78,000 pekerjaan.
MARGMA menjelaskan, syarikat-syarikat yang sudah menandatangani kontrak jualan tidak dapat menampung kenaikan kos secara mendadak.
"Harga sarung tangan di pasaran dunia sekarang sangat murah. Kos tambahan ini tidak boleh ditanggung oleh pembeli luar negara.
"Ia juga akan mengurangkan keuntungan sedia ada, menyukarkan pelaburan semula dan melemahkan kedudukan Malaysia berbanding negara pengeluar lain yang lebih murah," kata MARGMA dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pelaksanaan SST itu juga dijangka memberi tekanan kepada keseluruhan industri getah tempatan.
"Pengilang peringkat awal dan pembekal bahan kimia akan menghadapi peningkatan kos, manakala pengeluar produk akhir seperti peranti perubatan dan sarung tangan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terkesan dari segi modal kerja.
"Ini boleh melambatkan peluang pekerjaan baharu, menjejaskan pelaburan dalam automasi dan mengganggu hasrat Malaysia untuk kekal sebagai pusat pengeluaran sarung tangan berkualiti tinggi," tambahnya.
MARGMA dalam pada itu menyokong usaha kerajaan untuk menambah sumber pendapatan negara, tetapi berharap cukai baharu tidak menjejaskan industri yang banyak menyumbang kepada eksport, pekerjaan berkemahiran tinggi dan kerjasama dengan sektor huluan.
Persatuan berkenaan mencadangkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST, menjalankan kajian menyeluruh bersama industri mengenai kos dan faedah dan mempertimbang pengecualian atau kadar sifar bagi bahan mentah penting yang memberi kesan kepada eksport.
"Persatuan juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian yang seimbang untuk mencapai sasaran fiskal tanpa menjejaskan peranan Malaysia dalam industri sarung tangan getah dunia," ujarnya. - DagangNews.com








