Margin Southern Cable dijangka susut pada 2H26 susulan lonjakan harga polyethylene - HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Southern Cable dijangka susut pada 2H26 susulan lonjakan harga polyethylene - HLIB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 April – Southern Cable Group Bhd dijangka berdepan tekanan margin pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26) susulan kenaikan harga bahan mentah utama iaitu polyethylene, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB Research).

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata prospek jangka panjang kumpulan kekal kukuh disokong permintaan tinggi daripada sektor tenaga dan infrastruktur.

 

HLIB Research juga mengekalkan saranan “Beli” terhadap Southern Cable Group dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.59, berasaskan 22 kali pendapatan sesaham (EPS) FY26F.

 

Pada masa ini, saham syarikat diniagakan sekitar RM1.98 dengan potensi kenaikan kira-kira 30.3%, manakala jumlah pulangan termasuk dividen dianggarkan sekitar 31.1%.

 

Dari sudut penilaian, HLIB Research meletakkan nilai saksama asas pada RM2.95, manakala harga sasaran RM2.59 adalah berdasarkan kiraan EPS FY26F fully diluted selepas mengambil kira struktur saham termasuk waran.

 

Firma tersebut berkata risiko utama kepada margin datang daripada kenaikan harga polyethylene disebabkan oleh ketidaktentuan geopolitik global, termasuk gangguan perdagangan dan risiko di laluan strategik seperti Selat Hormuz serta tekanan bekalan penapisan minyak dunia.

 

“Namun, kesan kos ini dijangka lebih terkawal berbanding 2022 kerana sebahagian besar struktur operasi syarikat kini lebih stabil dan mekanisme penetapan harga lebih fleksibel berbanding tempoh sebelumnya.

 

“Kira-kira 70% jualan Southern Cable terdiri daripada pesanan standard yang membolehkan syarikat memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan, manakala baki 30% melibatkan kontrak jangka panjang dengan Tenaga Nasional Bhd yang lebih terdedah kepada risiko harga input.

 

“Namun, inventori polyethylene syarikat telah dilindungi sehingga Jun 2026, sekali gus menyokong kestabilan margin pada separuh pertama 2026 sebelum sebarang tekanan kos mula dirasai pada 2H26,” kata HLIB Research dalam nota kajiannya.

 

t

 

Firma itu berkata kitaran perolehan Tenaga bagi kontrak jangka panjang (Julai hingga September) akan mula dikunci pada Jun, yang menjadi titik penting dalam menentukan kos input seterusnya.

 

“Dari sudut operasi, kapasiti pengeluaran syarikat telah meningkat daripada sekitar 47,000 kilometer kepada 54,000 kilometer setahun, dengan tambahan kapasiti sekitar 4,000 kilometer yang sedang dalam perancangan serta pelaksanaan fasa seterusnya.

 

“Syarikat juga memperkukuh portfolio produk melalui kabel voltan tinggi 132kV yang semakin mendapat permintaan tinggi daripada projek TNB dan pembangunan pusat data, sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

 

Dari segi kewangan, HLIB Research menjangkakan margin keuntungan bersih FY26 sekitar 7.9%, lebih rendah berbanding margin terkini suku keempat FY25 sebanyak 8.6%, namun masih dianggap konservatif dan mempunyai ruang penampan sekiranya kos meningkat.

 

Keuntungan bersih kumpulan diunjurkan meningkat daripada RM151.4 juta pada FY25 kepada RM174.6 juta pada FY26, disokong oleh pertumbuhan kapasiti, permintaan industri dan pengembangan produk.

 

Pada masa ini, penilaian saham berada pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 17 kali bagi FY25 dan 14.8 kali bagi FY26, mencerminkan penurunan penilaian seiring pertumbuhan pendapatan yang dijangka lebih kukuh.

 

Secara keseluruhan, HLIB berpendapat walaupun risiko jangka pendek berpunca daripada volatiliti harga polyethylene, prospek Southern Cable kekal positif disokong oleh permintaan struktur daripada sektor tenaga, pengembangan grid nasional serta pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia. - DagangNews.com