Margin faedah bersih sektor perbankan diramal terus susut pada 3Q disebabkan pengurangan OPR, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin faedah bersih sektor perbankan diramal terus susut pada 3Q disebabkan pengurangan OPR, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Margin faedah bersih (NIM) sektor perbankan diramal terus menyusut pada suku ketiga 2025 disebabkan pengurangan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75% pada Julai lalu, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Katanya, kadar sebaran faedah mengecil sebanyak enam mata asas bulan ke bulan kepada 2.42% pada Ogos lalu, apabila kadar pinjaman menurun 11 mata asas berbanding penurunan lima mata asas dalam kadar deposit.

 

Bagaimanapun, HLIB kekal positif terhadap sektor perbankan dengan menyatakan penilaian yang tidak menuntut serta hasil dividen menarik sekitar 5%.

 

"Prestasi lemah Indeks Kewangan KL berbanding FTSE Bursa Malaysia KLCI setakat tahun ini membuka ruang untuk pemulihan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pinjaman sistem meningkat 5.4% tahun ke tahun pada Ogos, disokong pertumbuhan pinjaman isi rumah sebanyak 5.7% dan pengembangan pinjaman perniagaan sebanyak 5.2%, kebanyakannya daripada peningkatan keperluan modal kerja dalam kalangan syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Firma penyelidikan itu berkata, permohonan pinjaman meningkat semula sebanyak 2.2% sepanjang bulan tersebut, manakala kelulusan pinjaman susut sedikit sebanyak 0.2%.

 

Dari segi pembiayaan, deposit berkembang 3.8% pada Ogos, dipacu aliran masuk asing yang kukuh serta pertumbuhan akaun semasa dan simpanan yang sihat.

 

Nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) sistem kekal stabil pada sekitar 89%. - DagangNews.com