KUALA LUMPUR 12 Ogos – Transformasi pertanian khususnya dalam pengeluaran padi perlu dilaksanakan segera bagi memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSR) beras sebanyak 80 % menjelang tahun 2030.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, usaha itu sangat penting memandangkan keluasan tanah sawah kini semakin terhad dan ada yang sudah kehilangan kesuburannya.
Beliau berkata, untuk meningkatkan hasil padi tanpa perlu menambah kawasan sawah baharu, petani perlu mengamalkan teknologi moden serta kaedah pertanian berkesan seperti penggunaan baja organik, bio-fertilisasi, dan rawatan kapur bagi memulihkan kesuburan tanah.
“MARDI juga telah membangunkan pakej pembajaan inovatif seperti Realstrong N Bio-Booster yang boleh meningkatkan hasil padi sehingga 120 peratus dalam satu musim,” katanya.

Sejak penubuhan pada 1969, MARDI telah membangunkan pelbagai teknologi dan lebih 56 varieti padi termasuk padi biasa, pulut, wangi, berwarna, tahan racun rumpai dan hibrid.
Baru-baru ini, dua varieti baharu iaitu MR CL3 dan MR CL4 diperkenalkan bagi mengatasi cabaran seperti serangan padi angin, manakala satu lagi varieti akan dilancarkan di Pulau Pinang tidak lama lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, MARDI bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menganjurkan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di Kuching untuk memperkukuhkan transformasi pertanian.
“Bertemakan “Gelombang Padi Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara”, persidangan yang bermula hari ini di Kuching menjadi platform perkongsian ilmu dan memperkukuh kerjasama antara penggubal dasar, penyelidik, petani dan pemain industri.
“Ia juga akan membantu Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai jelapang padi kedua terbesar di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








