KUALA LUMPUR 6 Jan – Manulife Holdings Berhad, sebuah syarikat pegangan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia, mengumumkan persaraan Datuk Dr Zaha Rina Zahari sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dalam kenyataan hari ini, Manulife Malaysia berkata Renzo Christopher Viegas telah dilantik sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta susulan persaraan Dr Zaha Rina.
Dr Zaha Rina telah berkhidmat sebagai Pengerusi sejak 2013 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau membimbing syarikat melalui pelbagai pencapaian penting serta memperkukuh kedudukan Manulife sebagai penyedia insurans dan pengurusan aset yang dipercayai di Malaysia.
“Ia merupakan satu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Manulife Holdings Berhad. Saya berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai bersama dan yakin syarikat berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan kejayaan di bawah kepimpinan Pengerusi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Manulife Malaysia, Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan mendalam atas dedikasi dan sumbangan Dr Zaha Rina, yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk pertumbuhan serta daya tahan syarikat.
Renzo, yang kini menerajui lembaga sebagai Pengerusi, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas sejak 2020, selain mempengerusikan Jawatankuasa Audit Kumpulan serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Kumpulan.
Menurut syarikat itu, Renzo membawa lebih empat dekad pengalaman kepimpinan dalam sektor perbankan, insurans dan pasaran modal, dengan pengalaman memegang jawatan kanan di CIMB Group, RHB Bank Group dan Citibank.
Menurut Manulife Malaysia, Pengalaman strategik beliau merangkumi peranan lembaga pengarah di institusi kewangan utama, firma ekuiti persendirian dan syarikat penasihat di seluruh Asia, dengan rekod kukuh dalam memacu transformasi serta memperkukuh tadbir urus korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, pelantikan Renzo sebagai Pengerusi baharu disambut baik oleh pihak pengurusan.
“Syarikat berbesar hati mengalu-alukan Renzo sebagai Pengerusi baharu. Visi strategik serta kepakaran mendalam beliau dalam industri akan menjadi aset penting ketika kami terus berinovasi dan menyampaikan nilai kepada para pemegang kepentingan,” katanya.
Renzo memegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, merupakan seorang Akauntan Bertauliah, serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA). - DagangNews.com








