Manoharan dilantik sebagai Pengerusi Tourism Malaysia berkuat kuasa 8 Disember 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Manoharan dilantik sebagai Pengerusi Tourism Malaysia berkuat kuasa 8 Disember 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melantik Datuk Manoharan Periasamy sebagai Pengerusinya berkuat kuasa 8 Disember 2025, menggantikan Datuk Yasmin Mahmood.

 

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 5(1)(a) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

 

Manoharan, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia, merupakan tokoh berpengalaman luas dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan awam dengan rekod lebih 30 tahun.

 

Menurut agensi itu, sepanjang kariernya, beliau memegang pelbagai jawatan strategik termasuk Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat.

 

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran Asia Selatan apabila mengetuai operasi promosi pelancongan negara sebagai Pengarah Tourism Malaysia Mumbai dan Pengarah Tourism Malaysia New Delhi dari tahun 2000 hingga awal 2016. - DagangNews.com