KUALA LUMPUR 1 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pelan transformatif yang mampu melonjakkan kedudukan wanita India dalam landskap ekonomi negara, kata Ketua Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), S Hemala.
Beliau berkata, RMK13 adalah satu pelan tindakan yang inklusif dan berpaksikan keadilan sosial yang buat pertama kali memberi perhatian serius terhadap pembangunan usahawan wanita India terutamanya dari kelompok B40 dan luar bandar.
“RMK13 bukan sekadar dasar, ia komitmen kerajaan Madani untuk memastikan tiada siapa pun akan tercicir termasuk wanita India yang sekian lama agak terpinggir daripada arus pembangunan nasional,” katanya dalam kenyataan.
Fokus Kepada Pendidikan, Kemahiran dan Pembinaan Kapasiti
Hemala juga menyambut baik tumpuan RMK13 terhadap peluasan akses pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan program pembangunan kapasiti yang dilihat mampu membuka peluang baharu kepada wanita India untuk menyertai ekonomi moden.
Beliau berkata, ramai wanita India sudah pun menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah, namun masih kekurangan akses kepada sokongan formal, latihan dan pembiayaan yang diperlukan untuk berkembang.
“Kita tidak mahu lihat mereka sekadar bertahan sebaliknya kita mahu mereka berkembang menjadi usahawan berjaya yang mampu mewariskan perniagaan kepada generasi akan datang,” katanya.
SPUMI & PPSMI Pemangkin Ekosistem Usahawan Wanita
Ketua Wanita MAICCI itu turut mengalu-alukan kesinambungan skim pembangunan usahawan sedia ada seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang menurutnya telah membuktikan keberkesanan dalam membantu usahawan mikro India membina asas yang kukuh.
“Inisiatif seperti ini mesti diperluas dengan penyampaian yang telus dan pantas. Akses kepada pembiayaan, latihan, dan bimbingan perlu sampai terus ke akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, Hemala menggesa agar agensi-agensi berkaitan seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan wanita dan komuniti bagi memastikan pelaksanaan RMK13 benar-benar inklusif dan berimpak tinggi.
“Wanita India tidak perlukan simpati, mereka perlukan peluang. RMK13 telah buka jalan dan kini tanggungjawab kita untuk memastikan dasar ini sampai ke bawah dengan penuh integrity,” katanya.
Wanita India Sebagai Agen Perubahan Ekonomi
Hemala, yang sudah lama memperjuangkan agenda memperkasa ekonomi wanita menegaskan RMK13 telah membuka lembaran baharu kepada wanita India untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.
“Inilah waktunya untuk kita ubah naratif daripada komuniti yang hanya menerima, kepada komuniti yang menyumbang dan memimpin.
“RMK13 memberi asas, kini masa untuk bertindak menyahut seruan dan mengambil semua peluang yang telah disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen penuh MAICCI untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan suara wanita India terus didengari dan diperkasa dalam agenda pembangunan negara.- DagangNews.com








