Malaysia tingkatkan campuran penggunaan RE kepada 35% menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tingkatkan campuran penggunaan RE kepada 35% menjelang 2030

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Malaysia berhasrat meningkatkan campuran tenaga boleh baharu (RE) kepada 35% menjelang 2030, berbanding 29% pada masa ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, peralihan kepada RE akan membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan yang lebih luas kepada pemain industri tenaga.

 

"Buat pertama kalinya, satu sistem pasaran elektrik yang lebih inovatif, berasaskan kos sebenar penjanaan tenaga, termasuk tenaga boleh baharu, akan diperkenalkan.

 

"Inisiatif ini akan membolehkan penyertaan industri yang lebih meluas dan menggalakkan persaingan yang lebih sihat dan telus," katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, orang awam juga akan dapat menjana RE di bawah model akses grid terbuka melalui Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (Cream).

 

Beliau berkata, langkah itu akan mendayakan komuniti untuk menyumbang kepada campuran tenaga negara dan mendapat manfaat daripada rumusan tenaga bersih.

 

"Inisiatif seperti Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional dan Program Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat akan mempercepatkan pelaburan dalam tenaga hijau.

 

"Penglibatan sektor swasta akan terus memperkukuh keseluruhan rantaian nilai dalam ekosistem tenaga mampan negara," katanya.

 

Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Anwar berkata, pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), grid pintar, dan projek penyambungan bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia akan membolehkan integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah dengan lebih cekap.

 

"Selain itu, inisiatif hibrid hidro suria terapung dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluaskan sebagai model tenaga hijau bersepadu," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan turut mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga yang bersih, selamat dan berdaya saing untuk masa hadapan.

 

"Pada masa yang sama, kerajaan akan memperkukuh keselamatan tenaga dengan membangunkan kompleks terminal regasifikasi ketiga negara di Lumut, Perak," katanya.

 

Anwar berkata, kerajaan juga komited untuk mempercepatkan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi mengukuhkan ekosistem dan merancakkan aktiviti di sepanjang rantaian nilai.

 

"Keutamaan diberikan kepada pembangunan keupayaan tempatan dalam teknologi perlombongan, penapisan dan pemisahan melalui kerjasama strategik antarabangsa.

 

"Sumber REE akan diutamakan untuk kegunaan domestik bagi menyokong pembangunan industri pertengahan dan hiliran.

 

"Usaha-usaha ini akan disokong pembangunan bakat, infrastruktur moden, insentif yang menyeluruh, serta pemetaan sumber yang lebih tepat," katanya. - DagangNews.com