KUALA LUMPUR 8 April - Malaysia akan terus melaksanakan agenda reformasi demi kebaikan ekonomi negara walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menteri Kewangan II itu berkata, rangka kerja ekonomi Madani telah disediakan dengan jelas dan pelaksanaan melalui Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030 serta Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan diteruskan seperti yang dirancang.
"Ini adalah struktur dan asas yang perlu diteruskan," katanya semasa Dialog Menteri mengenai dasar makro struktur ASEAN yang berlangsung di sini, hari ini seperti laporan The Star.

Memetik contoh oleh Timbalan Menteri Kewangan Indonesia, Thomas Dwijandono yang mencadangkan agar negara-negara meneliti semula agenda terpenting, beliau berkata, langkah tersebut membolehkan cabaran seperti isu Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) diberikan perhatian utama.
Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini mengenakan tarif sebanyak 24% terhadap Malaysia.
Antara yang ditekankan Amir Hamzah sebagai cadangan agenda reformasi adalah mencipta persekitaran pasaran yang lebih baik dengan menjadikan pasaran swasta lebih kukuh bagi menyediakan kecairan ke dalam pasaran untuk membantu perniagaan berkembang.
"Malaysia juga boleh memudahkan peraturan agar perniagaan lebih lancar dijalankan dan memperbaiki kemudahan untuk menarik pelaburan asing.
"Semua ini boleh meningkatkan daya saing Malaysia dan memastikan kejayaan negara pada masa depan melalui pelaksanaan reformasi yang berterusan," jelasnya. - DagangNews.com








