KUALA LUMPUR 30 Sept - Malaysia terus mendahului Asia Tenggara dalam penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dengan mencatatkan 41 penyenaraian setakat 30 September 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, angka itu mengatasi 35 IPO yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2024, sekali gus mencerminkan kemajuan berterusan ke arah sasaran penuh tahun Bursa Malaysia sebanyak 60 penyenaraian.
“Sebanyak 41 IPO pada 2025 berjaya mengumpul kira-kira RM4.36 bilion, dengan jumlah permodalan pasaran IPO bernilai RM22.31 bilion.
“Pencapaian ini menegaskan daya tahan ekosistem pengumpulan dana awam negara, yang terus menarik minat pelabur meskipun berdepan cabaran global termasuk ketegangan geopolitik, risiko tarif dan ketidaktentuan pasaran,” katanya dalam ucapan khas pada majlis pelancaran sebuah buku mengenai undang-undang kewangan korporat di Malaysia, hari ini.
Amir Hamzah berkata, momentum tersebut turut menyerlahkan kedudukan kukuh Malaysia dalam pasaran modal serantau.
"Rangka kerja kewangan korporat yang kukuh membolehkan syarikat mengakses pasaran modal, mengurus aset secara bertanggungjawab dan membuat keputusan pelaburan yang menyokong pertumbuhan mampan.
"Usaha ini, digabungkan dengan reformasi untuk meningkatkan pengawasan, mengurangkan risiko pematuhan serta memperkukuh penguatkuasaan peraturan, telah meningkatkan keyakinan pelabur, sebagaimana dilihat menerusi peningkatan berterusan pelaburan asing dan domestik,” katanya. – BERNAMA







