Malaysia sasar status “negara AI” dalam strategi pembangunan digital menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia sasar status “negara AI” dalam strategi pembangunan digital menjelang 2030

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh dalam agenda digital negara dengan menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai tonggak utama pembangunan, seiring aspirasi muncul sebagai sebuah negara AI menjelang 2030.

 

Langkah ini menandakan perubahan strategik, daripada melihat AI sekadar teknologi sokongan kepada pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial negara.

 

Sehubungan itu, Sidang Kemuncak Malaysia Digital Acceleration (MDX) Summit 2025 dilancarkan sebagai platform utama memperkenalkan pelan tindakan strategik untuk memastikan negara kekal kompetitif dalam landskap teknologi yang pesat berubah.

 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, strategi negara bergantung kepada pembinaan infrastruktur kukuh, penguatkuasaan peraturan dipercayai, dan pembangunan bakat.

 

“Kerajaan menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan dan merancang pelaksanaan SmartGov Malaysia 2025 bagi memacu transformasi perkhidmatan awam berasaskan AI. 

 

“Langkah ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30% KDNK menjelang 2030, berbanding anggaran 25% pada 2025,” katanya ketika merasmikan sidang kemunak itu hari ini.

 

Program yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corp (MDEC) bersama Synapze Sdn Bhd, bertemakan “Catalysing Malaysia’s Trillion-dollar Digital Future”.

 

Ia dijangka menarik lebih 5,000 peserta dari kerajaan, penggiat industri, tokoh akademik termasuk pemimpin pemikiran global seperti Dr. Keyu Jin dari London School of Economics dan pelabur teknologi dari Sweden, Nicklas Bergman.

    

t

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kepantasan penerimaan AI mesti seiring dengan keselamatan dan kepercayaan, termasuk pematuhan Akta Keselamatan Siber dan Akta Perlindungan Data Peribadi yang diperkukuh. 

 

Beliau juga mengingatkan potensi risiko kesalahan data dalam AI atau robotik yang boleh menjejaskan kewangan atau nyawa manusia. 

 

“Selain itu, kerajaan dijangka memperkenalkan insentif baharu dalam Belanjawan 2026 untuk menyokong pelaburan dalam pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur AI, termasuk sokongan untuk govtech dan Suruhanjaya Data Nasional, dengan fokus keselamatan siber. 

 

“Kejayaan strategi AI akan diukur melalui kadar penerimaan, pencapaian komersial dan skalabiliti projek, dengan pemantauan dalaman untuk memastikan hasil disampaikan kepada kementerian,” katanya.

 

Gobind menekankan AI perlu memberi kesan nyata kepada rakyat, termasuk dalam pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan kerajaan. 

 

Beliau berkata, ia adalah pengalaman yang boleh dilihat dan dirasai, merujuk kepada 120 kes penggunaan teknologi pintar yang dipamerkan di Smart City Expo, termasuk pertanian pintar dan sistem perubatan autonomi. 

 

“Malaysia juga memanfaatkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN untuk membincangkan cabaran berkongsi dalam tadbir urus AI, keselamatan siber dan keterangkuman,” katanya.

 

Dalam majlis tersebut, seramai 13 penerima Malaysia Digital Acceleration Grant-AI (MDAG-AI) diumumkan mendapat manfaat skim yang membiayai sehingga 70% kos projek (maksimum RM2 juta) bagi solusi AI dengan potensi komersial. 

 

Antara penerima tersebut ialah SmartPeep Sdn Bhd, Hexa IOT Sdn Bhd, Macro Kiosk Bhd dan Cargo4u Sdn Bhd, merangkumi sektor kesihatan hingga logistik. 

 

Kesemua mereka akan dipantau untuk memastikan dana digunakan mengikut tujuan sebenar dan mencapai sasaran projek.- DagangNews.com