KUALA LUMPUR 2 Okt – Malaysia berpeluang merebut pasaran eksport buluh dunia yang diunjurkan mencecah AS$74.26 bilion (RM314.16 bilion) pada 2025 dengan pelancaran Model Ladang Buluh Terengganu dijangka menjadi pemangkin pembangunan industri buluh negara.
Ketika ini, industri buluh diiktiraf sebagai penyumbang ketiga terbesar komoditi selepas kelapa sawit dan getah di Malaysia.
Pada tahun 2024, sektor agrikomoditi merekodkan nilai eksport sebanyak RM186.5 bilion dengan industri perkayuan menyumbang sebanyak RM22.92 bilion.
Daripada jumlah itu, produk buluh menyumbang RM18.91 juta nilai eksport, manakala import produk buluh pula berjumlah RM126.73 juta.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Malaysia mempunyai lebih 70 spesies buluh, termasuk 45 spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di hutan.
“Keistimewaan buluh ialah kadar pertumbuhan yang pantas, kekuatan mekanikal tinggi dan ketahanan yang sesuai dijadikan bahan bernilai tambah.
“Lebih 577 pengusaha tempatan kini terlibat dalam pelbagai sektor buluh termasuk perabot, pembinaan, tekstil, makanan, arang dan kraftangan.
“Ini membuktikan buluh bukan lagi bahan tradisional semata-mata, tetapi komoditi moden yang mampu berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Buluh Sedunia 2025 di ladang buluh Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) dekat Hulu Terengganu hari ini.

Kerajaan melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut menjalankan pelbagai kajian berterusan meliputi aspek produk hiliran bernilai tambah antaranya seperti pengekstrakan serat buluh dalam pembuatan produk perabot dan sebagai bahan binaan.
Beliau berkata, ketahanan produk buluh yang dihasilkan telah membuktikan keupayaan industri buluh ini bergerak seiring dengan tuntutan teknologi moden.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi berasaskan buluh, malah turut diperkaya dengan khidmat nasihat teknikal serta program latihan pembangunan modal insan dalam sektor perladangan dan teknologi buluh yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan.
“Selain itu, Tanggam Design Centre (TDC) turut berperanan memperkukuh reka bentuk produk berasaskan buluh melalui pendekatan Original Design Manufacturing (ODM) dan Original Brand Manufacturing (OBM), sekaligus mewujudkan jenama Malaysia di pasaran global,” katanya.

Dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D), beberapa projek utama sedang dijalankan termasuk pembangunan Cross Laminated Bamboo, perabot buluh Small Office Home Office (SOHO), produk non-woven gentian buluh serta kajian ke atas 13 spesies buluh komersial.
Katanya, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan buluh di peringkat komuniti melalui Projek Pembangunan Komuniti Penanam Buluh (PPCFB).
“Setakat ini, kawasan seluas 135.4 hektar dibangunkan melibatkan usahawan kecil dengan sokongan insentif anak pokok, baja serta latihan.
“Selain itu, lebih 4,000 hektar ladang buluh telah ditanam oleh pihak swasta bagi memenuhi keperluan domestik, membuktikan industri ini semakin mendapat tempat,” katanya.
Katanya, dengan inovasi, penyelidikan dan pembangunan berterusan, buluh mampu menjadi sumber alternatif sektor perkayuan, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta menjadi pemacu ekonomi baharu negara.
Dalam pada itu, model ladang buluh seluas 15 hektar di Hulu Terengganu akan menjadi sebagai pusat rujukan, penyelidikan, latihan serta ikon pendidikan dan demonstrasi industri buluh.
Selain itu, ia juga bakal menjadi destinasi eko pelancongan terkenal dengan penanaman buluh berskala besar secara lestari melibatkan spesies komersial utama seperti Betung, Madu dan Semantan yang dipilih kerana nilai pasarannya lebih tinggi. - DagangNews.com








