Malaysia perlu atasi jurang gaji, isu pekerja bagi memastikan kejayaan JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perlu atasi jurang gaji, isu pekerja bagi memastikan kejayaan JS-SEZ

KUALA LUMPUR 23 Jun - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilihat mampu mengukuhkan kerjasama ekonomi Malaysia dan Singapura, namun kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada penyelesaian masalah jurang gaji, pergerakan pekerja dan cabaran mengekalkan bakat tempatan.

 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, isu utama bukanlah kekurangan tenaga mahir, tetapi gaji yang rendah di Malaysia.

 

"Masalah kita bukan kekurangan bakat, tetapi gaji yang tidak setimpal. Ramai pekerja mahir kita memilih untuk bekerja di Singapura. 

 

"Sekarang ini, ada 1.1 juta rakyat Malaysia bekerja di sana. Situasi ini perlu diubah," katanya semasa sesi dialog Pemangkin Pertumbuhan Baharu anjuran The Edge Malaysia dan HSBC.

 

Menurut Chin Tong, selain membina kemudahan dan menawarkan insentif cukai, kerajaan juga perlu menumpukan usaha membangunkan syarikat tempatan, melabur dalam teknologi bernilai tinggi dan memberi ganjaran yang setimpal kepada pekerja mahir.

 

"Kita perlu pelaburan yang memberi nilai tambah, bukan hanya jual tanah. Tukar tanah kepada teknologi dan pegangan ekuiti dan bangunkan rantaian bekalan tempatan," jelasnya.

 

Beliau turut menyatakan, jurang gaji antara Johor dan Singapura telah lama wujud, tetapi kini menjadi lebih ketara dengan pelancaran sistem pengangkutan RTS (Rapid Transit System) Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi menjelang akhir 2026.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han pula berkata, sistem pengangkutan RTS Johor Bahru–Singapura mampu melancarkan perjalanan merentasi sempadan, namun ia juga boleh menyebabkan lebih ramai pekerja tempatan berhijrah ke Singapura jika Johor tidak menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

 

"RTS mungkin siap menjelang 2026, tetapi adakah kita sudah sediakan pekerjaan yang mampu mengekalkan bakat di Johor? 

 

"Soalnya bukan sekadar penghijrahan bakat, namun bagaimana untuk menarik mereka kembali. Kuncinya ialah gaji," ujarnya.

 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapan perasmiannya menjelaskan, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan TalentCorp untuk memperkenalkan garis panduan gaji bagi 11 sektor utama di bawah JS-SEZ. 

 

"Panduan itu dijangka dikeluarkan suku ini bagi membantu majikan menawarkan gaji yang lebih berpatutan dan berdaya saing," jelasnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, pelabur sememangnya berminat dengan JS-SEZ, namun kejayaan jangka panjang bergantung kepada dasar yang konsisten dan komitmen kerajaan.

 

"Kita ada asas yang kukuh seperti infrastruktur, sistem undang-undang, bakat dan pasaran. Tetapi pelabur perlukan kepastian bahawa kerjasama ini akan berjalan dengan stabil," katanya.

 

Beliau menambah, penyelarasan dasar berkaitan tenaga kerja, pergerakan pekerja dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai rantaian bekalan JS-SEZ dengan lebih mudah. - DagangNews.com