Malaysia perbaharui MoU dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perbaharui MoU dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Malaysia memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (Sesric) bagi memperkukuh kapasiti statistik, menyokong pembangunan mampan dan memacu pertumbuhan inklusif dalam kalangan negara anggota OIC.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena Sesi Suruhanjaya Statistik OIC ke-14 yang diadakan pada 1 hingga 3 Oktober 2025 di Ankara, Türkiye. 

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Pengarah Sesric, Zehra Zümrüt Selçuk.

 

Menurut Dr. Uzir, MoU yang diperbaharui menzahirkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan penggunaan statistik rasmi sebagai pemacu penggubalan dasar berinformasi, akauntabiliti dan pembangunan mampan. 

 

“Melalui kerjasama ini, kita mencapai kemajuan signifikan dalam pembangunan kapasiti dan inovasi statistik, termasuk transformasi digital, integrasi data raya dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.

 

MoU ini menekankan komitmen bersama Malaysia dan Sesric untuk memperkukuh pembangunan kapasiti statistik, memperluas perkongsian ilmu dan memastikan sistem statistik negara anggota OIC mampu menghasilkan data ekonomi, sosial dan alam sekitar yang berkualiti tinggi.

 

Sejak mula dimeterai pada 2020, Malaysia melalui DOSM telah memainkan peranan aktif dalam memperkasa kapasiti statistik dengan menyampaikan 29 program latihan dan sesi perkongsian teknikal, termasuk penggunaan metodologi inovatif dan alat pengumpulan data moden.

 

Kerajaan Malaysia turut mencatat kejayaan penting di peringkat global apabila menduduki kedudukan teratas dalam laporan Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch, mengatasi 198 negara lain. 

 

Ia meningkat daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.

 

Selain itu, kerajaan juga mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Kebangsaan (MyStats Day) dengan tema “Statistik adalah Intipati Kehidupan”, manakala Hari Statistik Sedunia Keempat akan disambut pada 20 Oktober 2025 bertemakan “Memacu Perubahan dengan Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua Orang”.

 

Dr. Uzir berkata, Malaysia komited memperkukuh sistem statistik digital bersepadu melalui OpenDOSM NextGen, medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan analisis dan akses data kepada orang ramai, yang boleh diakses di [https://open.dosm.gov.my](https://open.dosm.gov.my).

 

MoU yang diperbaharui ini akan menjadi landasan strategik untuk Malaysia dan Sesric memajukan sistem statistik yang moden, inklusif dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi pembangunan serantau dan global. - DagangNews.com