KUALA LUMPUR 15 April - Malaysia disaran menggunakan kekuatannya dalam bidang elektronik, semikonduktor, nadir bumi, kesihatan dan keselamatan untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) supaya diberi pengecualian Tarif Perdagangan AS, semasa tempoh kelonggaran 90 hari yang sedang berlangsung.
Menurut Kenanga Research, Malaysia adalah pembekal penting cip dan elektronik kepada AS, menyumbang 20% daripada jumlah cip yang diimport oleh negara itu.
"Dengan AS kini giat memperkukuh rantaian bekalannya, penglibatan Malaysia dalam pengeluaran semikonduktor memberikan kelebihan untuk negara berunding tentang pengecualian tarif.
"Produk elektronik menyumbang hampir 40% daripada jumlah eksport Malaysia pada 2024, menjadikan negara ini komponen penting dalam rantaian bekalan teknologi AS. Sebagai alternatif yang stabil kepada China, Malaysia juga dilihat berpotensi menjadi rakan dagang yang dipercayai," katanya dalam satu nota kajian.
Jelasnya, jika Malaysia menarik lebih banyak syarikat AS untuk mengeluarkan produk elektronik di negara ini, ia boleh membantu menguatkan rantaian bekalan dan menjadi sebab untuk AS menghapuskan tarif.
"Seperti perjanjian keluli Korea Selatan dengan AS, Malaysia juga boleh mendapat pengecualian tarif melalui kerjasama dalam bidang cip semikonduktor," ujar Kenanga Research.
Dalam sektor nadir bumi, firma penyelidikan tersebut berkata, Malaysia mempunyai kelebihan strategik dengan menjadi tuan rumah kepada kilang pemprosesan nadir bumi terbesar di luar China, iaitu Lynas di Kuantan.
Tambahnya, memandangkan AS sangat bergantung kepada China untuk bekalan nadir bumi (78% import), Malaysia boleh tampil sebagai pembekal alternatif yang lebih selamat untuk industri penting seperti kenderaan elektrik, pertahanan dan teknologi.
Dari segi produk kesihatan pula, Malaysia kekal sebagai pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia, dengan penguasaan pasaran global sebanyak 45% pada 2024.
Pelaksanaan tarif baharu AS ke atas produk kesihatan dari China, termasuk sarung tangan, dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk Malaysia.
AS juga merupakan pengimport sarung tangan terbesar dunia, dengan nilai import mencecah RM26.53 bilion pada 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan rundingan Malaysia.
Kenanga Research turut menyatakan, langkah memperkukuh hubungan keselamatan dengan AS boleh membantu Malaysia mendapat kelonggaran tarif.
Dalam masa yang sama, Malaysia perlu kekal dengan dasar luar berkecuali dan terus melibatkan semua rakan dagang utama termasuk China.
Pendekatan seimbang itu akan meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai pemain serantau yang boleh dipercayai, sekali gus membantu meredakan ketegangan perdagangan.
"Malaysia boleh menggunakan kelebihan-kelebihan ini melalui diplomasi senyap, kerjasama rantaian bekalan dan tawaran konsesi terpilih untuk merundingkan pengurangan tarif secara berkesan.
"Jika AS melihat manfaat yang nyata seperti sokongan pelaburan semula, pengurangan kebergantungan kepada China dan kerjasama keselamatan, besar kemungkinan mereka akan memberi respons positif," jelas Kenanga Research.
Tambahnya, Malaysia perlu mempunyai strategi rundingan yang tersusun antaranya, diplomasi dua hala, pakej konsesi dan menggunakan pengaruh ASEAN. - DagangNews.com








