KUALA LUMPUR 8 April — Malaysia akan terus melabur dalam memajukan kawasan sempadan, sama seperti pendekatan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), untuk meningkatkan aktiviti ekonominya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan juga tambahnya, akan mendorong penjajaran kawal selia, menambah baik logistik rentas sempadan, dan meningkatkan ketersambungan digital dalam ASEAN bagi mengukuhkan perdagangan rantau ini, yang berjumlah AS$3.5 trilion (RM15.7 bilion).
JS-SEZ merupakan pendekatan penting dalam hubungan Malaysia-Singapura yang dilancarkan pada 11 Januari 2025, bertujuan untuk melonjakkan perdagangan, pelaburan dan inovasi rentas sempadan.
"Ia adalah langkah penting dengan mengurangkan halangan dan menyelaraskan dasar antara dua ekonomi yang berkait rapat, kami mewujudkan kesan demonstrasi serta kajian kes dalam logik ekonomi rentas sempadan," kata Anwar.
Ketika berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, beliau menyebut isu pembangunan kawasan sempadan seperti utara Semenanjung Malaysia dengan Thailand, serta Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, bagi meningkatkan aktiviti ekonomi sempadan.
Anwar menambah bahawa usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan sempadan memerlukan infrastruktur yang berdaya tahan serta boleh menangani cabaran semula jadi dan kewangan, terutamanya memandangkan wilayah itu terdedah kepada risiko bencana alam.
Langkah tersebut jelas beliau, adalah sebahagian daripada strategi yang lebih besar dan didesak Malaysia sendiri untuk mengukuhkan kerjasama intra-ASEAN.
"Dengan kenaikan tarif yang melanda seluruh dunia secara pantas dan hebat, kita menyaksikan kekacauan susunan global. Oleh itu, ASEAN mesti lebih bergantung kepada dirinya sendiri," katanya dalam ucapan tersebut.
Anwar berkata walaupun liberalisasi tarif dalam ekonomi ASEAN sebahagian besarnya lengkap, tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk memastikan penjajaran kawal selia, menambah baik logistik rentas sempadan, dan meningkatkan ketersambungan digital.
Selain itu beliau menambah bahawa ASEAN juga mesti berupaya melindungi dan mengembangkan rangkaian globalnya yang unik, sehingga mampu merentasi enam benua.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan menumpukan pada usaha bagi menggiatkan semula platform utama seperti ASEAN Tambah Tiga untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi. - DagangNews.com








