Malaysia komited bekerjasama dengan China, anggap Xi sebagai 'sahabat sejati' - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia komited bekerjasama dengan China, anggap Xi sebagai 'sahabat sejati' - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri anwar Ibrahim bertemu rakan sejawat menerima kunjungan Presiden Republik Rakyat China TYT Xi Jinping sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia sempena lawatan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 April - Malaysia komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan China dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Dalam ucapan pembukaan semasa mesyuarat dua hala bersama Presiden China, Xi Jinping, Anwar menyifatkan Xi sebagai "sahabat sejati" rakyat Malaysia, dan menzahirkan penghargaan atas kesungguhan China dalam memajukan ekonomi serta membasmi kemiskinan.

 

"Kita akan terus bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan teknologi baharu termasuk inisiatif AI yang telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Anwar turut mengagumi pendekatan kepimpinan Xi yang menekankan kemakmuran bersama dan kemajuan peradaban, sesuatu yang jarang diketengahkan oleh pemimpin dunia masa kini.

 

"Beliau juga bercakap tentang pembasmian kemiskinan dan telah membuktikan kejayaannya dan yang lebih penting, tentang kemakmuran bersama dan peradaban sesuatu yang jarang diungkapkan oleh mana-mana pemimpin dunia moden.

 

"Kami mengagumi ketabahan anda dan atas sebab itu, rakyat Malaysia mengalu-alukan kehadiran anda, Presiden Xi, bukan sahaja sebagai presiden kepada sebuah negara hebat, iaitu China, tetapi juga sebagai seorang sahabat sejati," katanya.

 

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri kabinet dan delegasi China mengadakan mesyuarat bersama semasa kunjungan Presiden Xi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri kabinet dan delegasi China mengadakan mesyuarat semasa kunjungan Presiden Xi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini 

 

Mesyuarat tersebut turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta beberapa menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sertaMenteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

 

Lawatan rasmi itu merupakan kunjungan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013. Ia berlangsung ketika dunia berdepan cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin kompleks.- DagangNews.com