Malaysia, Jepun meterai perjanjian strategik RM1.34 bilion bagi bioekonomi hijau semasa Expo 2025 Osaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia, Jepun meterai perjanjian strategik RM1.34 bilion bagi bioekonomi hijau semasa Expo 2025 Osaka

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 Mei - Malaysia dan Jepun meterai tiga perjanjian strategik bernilai RM1.34 bilion semasa Expo 2025 Osaka, Jepun.

 

Inisiatif tersebut dipimpin Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Bioeconomy Corporation menyatakan kerjasama itu melibatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan pengkomersialan produk bioteknologi lestari, sejajar Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan matlamat kelestarian global.

 

Majlis itu berlangsung pada 12 Mei 2025 di Pavilion Malaysia sempena pelancaran Minggu MOSTI.

 

Perjanjian utama melibatkan usaha sama reNIKOLA Holdings Sdn Bhd dan Sumitomo Corporation dari Jepun untuk membangunkan bahan api boleh diperbaharui. 

 

Projek itu akan menggunakan sisa pengeluaran minyak sawit bagi menghasilkan biomethane serta derivatif karbon rendah seperti biomethane cecair dan biomethanol.

 

Perjanjian kedua melibatkan MTC Orec Sdn Bhd, sebuah syarikat bioenergi di bawah program Bio-based Accelerator (BBA), yang bekerjasama dengan IHI Plant Services Corporation untuk memajukan teknologi biogas di Asia Tenggara.

 

Perjanjian ketiga, Glyken Bio Products Sdn Bhd, menandatangani Memorandum Perjanjian serta kontrak bekalan bersama Respect Co Ltd bagi mengedar produk berasaskan glikopeptida sarang burung di pasaran Jepun.

 

Ia menjadi platform penting memperkukuh kerjasama Malaysia-Jepun bagi mempromosikan ekonomi bio dan rendah karbon selaras matlamat kelestarian global.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, pemilihan Jepun sebagai rakan strategik menunjukkan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam memacu pertumbuhan ekonomi hijau serta menangani perubahan iklim global.

 

"Malaysia berbangga mempamerkan potensi bioekonomi negara ke peringkat global melalui kerjasama ini.

 

"Syarikat BioNexus dan peserta program BBA kini berada pada kedudukan terbaik dalam memacu transformasi tenaga boleh diperbaharui (RE), pertanian lestari dan produk berasaskan bio.

 

"Kerjasama ini bukan sahaja menjana manfaat ekonomi, malah menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan rendah karbon di peringkat serantau dan global," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com