KUALA LUMPUR 23 Dis – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam agenda keterjaminan makanan dan pembangunan ekosistem halal apabila memperkenalkan import ayam belanda dari Rusia yang mendapat pensijilan halal, sekali gus membuka sumber bekalan baharu kepada pasaran tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu menandakan kemajuan signifikan dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan negara di samping memperdalam hubungan dua hala Malaysia–Rusia khususnya dalam sektor agro makanan.
Menurutnya, nilai perdagangan agro makanan antara Malaysia dan Rusia mencecah kira-kira RM2.5 bilion setakat akhir September lalu, mencerminkan hubungan dagangan yang kukuh dan stabil antara kedua-dua negara.
“Pengenalan ayam belanda halal dari Rusia ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memastikan bekalan makanan negara terus mampan, selain memperluas ekosistem halal Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya selepas merasmikan pelancaran ayam belanda halal Rusia di sini hari ini.
Mohamad berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di bawah kementerian telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Rusia bagi memastikan produk import itu mematuhi piawaian halal dan keselamatan makanan yang ditetapkan Malaysia.
Menurut beliau, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain beberapa siri audit serta lawatan pemeriksaan oleh pegawai DVS ke Rusia bagi memastikan ayam belanda yang diimport bebas daripada penyakit.
“Selepas melalui proses audit, pemeriksaan dan pensijilan halal, ayam belanda dari Rusia telah diluluskan untuk memasuki pasaran Malaysia dan kini sudah pun berada di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, pengguna tidak perlu ragu terhadap status halal produk tersebut kerana pensijilan yang dikeluarkan Jakim merupakan jaminan kepada kepatuhan piawaian halal negara.
“Jika rakan bukan Islam dijemput menikmati ayam belanda ini, mereka tidak perlu ragu kerana produk yang diperakui Jakim di Malaysia boleh dipercayai,” katanya.
Pengenalan ayam belanda halal dari Rusia ke pasaran tempatan diterajui oleh 3Bumi Trading Sdn Bhd, yang bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan serta rakan strategik dari Rusia.
Dilancarkan dengan tema ‘From Russia With Love’, produk berkenaan melibatkan ayam belanda muda dengan berat sekitar tujuh kilogram, manakala ayam belanda dewasa boleh mencapai berat sehingga 22 kilogram.
Malaysia dan Rusia mempunyai hubungan perdagangan yang telah lama terjalin, termasuk dalam sektor pertahanan dan komoditi. Rusia kekal sebagai antara pembeli utama minyak sawit Malaysia serta produk lain.
“Pada masa lalu, Malaysia membeli pesawat seperti MiG dan Sukhoi, manakala Rusia pula mengimport minyak sawit dan pelbagai produk dari negara kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menolak kebimbangan mengenai peningkatan persaingan dalam pasaran durian China susulan penyertaan Laos, sambil menegaskan permintaan global terhadap durian terus berkembang.
“Tiada isu kerana pasaran durian semakin diterima secara meluas dan permintaannya terus meningkat,” katanya.
Menurut beliau, durian Malaysia kini semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa baharu termasuk Dubai, Tehran dan beberapa negara di Timur Tengah, walaupun China kekal sebagai destinasi eksport utama berikutan kuasa beli pengguna yang tinggi dan saiz pasaran yang besar.
“China masih pasaran utama kerana pengguna di sana mempunyai kuasa beli yang sangat tinggi,” katanya. - DagangNews.com








