KUALA LUMPUR 25 Julai - Malaysia sedang menggiatkan usaha untuk menjadi antara kuasa besar dalam industri semikonduktor dengan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) semakin menarik minat pelabur, sokongan institusi dan kerjasama serantau.
CIMB Securities berkata, dengan komitmen pelaburan berjumlah RM63 bilion, asas syarikat tempatan yang semakin kukuh dan penjajaran dengan ASEAN, Malaysia sedang meletakkan dirinya secara beransur-ansur dalam ekosistem semikonduktor global.
“NSS semakin mendapat perhatian pelabur, sokongan institusi dan momentum serantau. Ia mengukuhkan perancangan Malaysia untuk menjadi antara kuasa besar,” katanya dalam satu nota kajian.
Dilancarkan pada Mei 2024, NSS bertujuan untuk mengubah Malaysia daripada sekadar pangkalan "Dibuat di Malaysia" kepada hab "Dibuat oleh Malaysia" dengan memperkukuhkan keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), penyelidikan dan reka bentuk serta pembungkusan termaju.
Firma penyelidikan itu berkata, strategi itu telah menarik projek berimpak tinggi daripada pemain global seperti Infineon, Carsem, NXP, Syntiant dan Plexus.
Katanya, Malaysia juga menyasarkan untuk membangunkan 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan hasil melebihi AS$1 bilion dan 100 syarikat dengan hasil melebihi RM1 bilion.
“Kerajaan mengenal pasti 13 syarikat berpangkalan di Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor sebagai penerima manfaat utama, termasuk Carsem (MPI), Inari Amertron Bhd, Pentamaster Corporation Bhd, ViTrox Corporation Bhd dan Kelington Group Bhd.
“Selain itu, syarikat reka bentuk dan perkhidmatan IC yang berpotensi seperti Oppstar Bhd, SkyeChip, Infinecs, dan Experior juga sedang dipupuk untuk menerajui fasa pertumbuhan semikonduktor seterusnya di Malaysia,” katanya.
CIMB Securities berkata, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia juga menerajui usaha integrasi rantaian bekalan serantau melalui Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN.
“Peralihan Malaysia daripada pangkalan pemasangan peringkat akhir kepada hab semikonduktor yang merangkumi reka bentuk hingga pembungkusan masih dalam proses pembangunan.
“Namun, kami berasa yakin melihat bahawa NSS semakin mendapat perhatian pelabur, sokongan institusi dan momentum serantau,” katanya.
Saham pilihan utama firma tersebut dalam ruang pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT) tempatan ialah Inari Amertron dan Malaysian Pacific Industries Bhd, dengan ViTrox turut disebut kerana pendedahannya dalam segmen peralatan ujian automatik. - DagangNews.com








