Malaysia gariskan 4 bidang utama tangani tarif timbal balik Amerika Syarikat - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia gariskan 4 bidang utama tangani tarif timbal balik Amerika Syarikat - Tengku Zafrul

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Malaysia menggariskan empat bidang utama untuk rundingan bagi menangani cadangan tarif timbal balik Amerika Syarikat, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tumpuan akan diberikan kepada mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, meningkatkan perlindungan teknologi, dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

 

Beliau telah mengetuai delegasi untuk bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, di Washington pada 24 April 2025 bagi membincangkan mengenai tarif timbal balas yang dikenakan ke atas Malaysia. 

 

Katanya, pihaknya percaya mesyuarat-mesyuarat bersama Howard Lutnick dan Duta Besar Jamieson Greer adalah langkah tepat.

 

"Kami akan terus mengekalkan momentum dengan membuat susulan kepada beberapa isu utama yang dibincangkan segera dalam tempoh 90 hari penagguhan sementara pelaksanaan tarif timbal balas. 

 

miti

 

"Malaysia juga menegaskan, semua talian komunikasi kekal terbuka dan kami akan terus berusaha untuk mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain itu, perbincangan juga berkisar mengenai bagaimana AS boleh mengeratkan kerjasama dengan dengan ASEAN, terutamanya memandangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. 

 

Ini merupakan satu peluang yang tepat pada masanya untuk memajukan matlamat bersama dan kestabilan serantau.

 

Malaysia optimis mengenai penangguhan sementara tarif timbal balik selama 90 hari baru-baru ini dan menganggapnya sebagai peluang untuk menjalankan libat urus secara membina dengan AS. 

 

Malaysia secara terbuka menyatakan, ia tidak akan mengambil tindakan tarif balas terhadap AS tetapi bersedia untukbekerjasama bagi mencapai hasil yang boleh dipersetujui bersama terhadap isu-isu yang dibangkitkan Pentadbiran Presiden Donald Trump.

 

Dalam kedua-dua mesyuarat tersebut, kementerian itu menegaskan, AS telah lama dan akan terus menjadi rakan ekonomi terpenting dan strategik bagi Malaysia. 

 

Sepanjang beberapa dekad, syarikat-syarikat Amerika telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia, dan hubungan ini telah memberikan manfaat yang ketara kepada perniagaan dan pekerja di kedua-dua belah pihak.

 

MITI turut berkongsi prestasi perdagangan dua hala yang kukuh sejak 10 tahun lalu yang telah menjadi lebih seimbang, terutamanya apabila defisit perdagangan yang dicatatkan AS telah menunjukkan trend aliran menurun, yang mencerminkan perubahan yang menguntungkan dalam perdagangan dua hala. 

 

Sehubungan itu, Malaysia akan berusaha untuk meneroka cara-cara alternatif dalam menangani kebimbangan AS, tetapi pada masa yang sama, akan memastikan agar aliran perdagangan yang saling menguntungkan antara Malaysia dan AS akan berterusan.- DagangNews.com