Malaysia diramal kekal daya saing eksport kerana dikenakan kadar tarif antara terendah di ASEAN - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia diramal kekal daya saing eksport kerana dikenakan kadar tarif antara terendah di ASEAN - Phillip Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Malaysia diramal terus mengekalkan daya saing eksport di pasaran global kerana pendedahan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang secara relatifnya lebih rendah di ASEAN, kata Phillip Capital. 

 

Kadar tarif 24% yang dikenakan Presiden Donald Trump kepada Malaysia meletakkannya antara negara ASEAN yang paling kurang terjejas, di belakang Singapura dan Filipina.

 

Sementara itu, China dikenakan tarif 34%, Kesatuan Eropah (EU) 20%, Taiwan 32%, dan Jepun 24%, antara lain.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan tarif itu dilihat lebih kepada alat rundingan strategik daripada langkah jangka panjang, memberi ruang untuk potensi penentukuran semula berdasarkan perjanjian perdagangan masa hadapan. 

 

Bagaimanapun, kemungkinan perubahan itu adalah terhad bagi mereka yang tertakluk kepada tarif asas 10%.

 

"Sekiranya langkah-langkah ini berkekalan, beban tarif China yang tinggi boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, menimbulkan risiko penurunan kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 5.1%.

 

"Bagaimanapun, pendedahan tarif Malaysia yang secara relatifnya lebih rendah dalam ASEAN menunjukkan kesan keseluruhan kekal terurus, membolehkannya mengekalkan daya saing eksport dan mengukuhkan pandangan kami tentang peluang lencongan perdagangan," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Trump kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia

Terdahulu, Presiden AS ke-47 itu menerbitkan senarai rakan dagangan terbesar negara dan tarif timbal balik yang akan dikenakan AS ke atas mereka, dengan Malaysia amat tinggi dalam senarai itu.

 

Secara khususnya, Malaysia berada di tempat ke-11 dalam senarai tersebut, yang seterusnya mendedahkan, AS akan mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas negara ini.

 

Menurut Trump, ini adalah sebagai tindak balas terhadap tarif 47% Malaysia yang dikenakan kepada AS, termasuk manipulasi mata wang dan halangan perdagangan, seperti di Rumah Putih.

 

Phillip Capital berkata, buat masa ini, tarif timbal balik yang dikenakakan itu mengecualikan barangan kritikal di bawah 50 USC 1702(b), keluli, aluminium dan bahagian kereta tertakluk kepada tarif Seksyen 232.

 

Pengecualian lain termasuk tembaga, farmaseutikal, semikonduktor, kayu, tenaga dan mineral terpilih yang tidak tersedia di AS.

 

Pengecualian sementara semikonduktor daripada tarif baru AS mengurangkan kebimbangan tetapi firma penyelidikan itu tetap berwaspada terhadap potensi risiko tarif pada masa hadapan.

 

"Ketidakpastian yang berlarutan mengenai potensi tarif khusus sektor ke atas semikonduktor mungkin terus menjejaskan sentimen pelabur. Dengan jangkaan pemulihan pendapatan berulang kali ditangguhkan, gandaan penilaian boleh kekal menurun lebih lama.

 

"Kami menurunkan penarafan kepada sektor teknologi kepada "neutral" berbanding "overweight"," katanya. - DagangNews.com