KUALA LUMPUR 2 Okt – Kejayaan Malaysia meraih 154 undi dan menduduki tangga ketujuh dalam pemilihan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2025–2028 mencerminkan peningkatan keyakinan global terhadap kepimpinan penerbangan negara.
Dalam pemilihan yang berlangsung sempena Sesi Ke-42 Perhimpunan Agung ICAO di Montreal, Kanada baru-baru ini, Malaysia mengekalkan keanggotaan sebagai ahli Bahagian III untuk penggal ketujuh berturut-turut sejak 2007.
Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air dalam satu kenyataan bersama turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Pengangkutan serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas pencapaian bersejarah itu yang dianggap hasil usaha kolektif pelbagai pihak.
Ketiga-tiga syarikat penerbangan itu berkata, pencapaian kali ini jauh lebih baik berbanding pemilihan 2022 apabila Malaysia sekadar memperoleh 136 undi dan berada di kedudukan ke-13 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan.
“ICAO Council memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju penerbangan antarabangsa termasuk menetapkan piawaian keselamatan, dasar strategik dan garis panduan kepada 193 negara anggota.
“Kehadiran Malaysia dalam majlis itu memastikan suara negara terus didengari dalam isu keselamatan, kelestarian dan inovasi penerbangan global,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai suara yang berwibawa dan dihormati dalam membentuk agenda penerbangan global.
“Kejayaan ini mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membimbing dasar serta memperkukuh kerjasama pada tahap tertinggi penerbangan awam.
“MAG komited menyokong mandat ini untuk terus menyumbang kepada kerjasama antarabangsa yang meningkatkan daya tahan, inovasi, dan pertumbuhan mapan dalam penerbangan global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam pula berkata, pelancongan dan perjalanan kekal penting dalam menghubungkan ekonomi, perdagangan serta budaya di seluruh dunia dan mandat lebih kukuh yang diperoleh Malaysia dalam pemilihan ICAO membuktikan keyakinan global yang semakin meningkat terhadap kepimpinan penerbangan negara.
“Bagi AirAsia, ia mengukuhkan lagi peranan kami sebagai peneraju penerbangan tambang rendah dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai LCC hab mega terulung dunia.
“Lebih penting lagi, ia menonjolkan kemajuan Malaysia sebagai juara keterhubungan yang mampu milik, inklusif dan mampan. Bersama kerajaan dan rakan industri, kami akan terus mempertingkatkan peranan Malaysia dalam membentuk masa depan penerbangan global.” Katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy pula berkata, pencapaian itu sangat membanggakan serta mengiktiraf kepimpinan dan kredibiliti negara dalam penerbangan global.
“Di Batik Air, kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dengan menghubungkan komuniti, memajukan piawaian industri dan menyampaikan perkhidmatan yang mencerminkan citra terbaik Malaysia.
“Kejayaan ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap pengaruh Malaysia di pentas antarabangsa, tetapi juga satu amanah kepada semua pemain industri penerbangan untuk terus meningkatkan tahap keselamatan, inovasi, dan kecemerlangan operasi,” katanya. - DagangNews.com







