KUALA LUMPUR 9 April - Ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran baharu pada 2025 berikutan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan kepada prestasi eksport serta merencatkan prospek pertumbuhan.
Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam negara yang paling terjejas di rantau ini, kadar tarif 24% yang dikenakan oleh AS dijangka memberi kesan besar kepada keluaran domestik dan dasar negara pada bulan-bulan akan datang.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4% daripada 4.9%, ekoran kesan pelaksanaan tarif berkenaan.
Firma penyelidikan itu menganggarkan kesan itu menggunakan model keanjalan rendah, mengambil kira pendedahan purata eksport Malaysia terhadap KDNK dan keupayaan terhad untuk menggantikan eksport yang terjejas dalam jangka pendek.
"Dengan menggunakan kadar tarif efektif 18% terhadap pendedahan purata eksport Malaysia terhadap KDNK pada 7.2% sepanjang tempoh 2011 hingga 2024, kami menganggarkan penurunan pertumbuhan KDNK daripada 4.9% kepada 4%,” jelasnya dalam satu laporan terkini.
HLIB Research memberi amaran, pertumbuhan mungkin terus merosot jika perang perdagangan global semakin meruncing, yang boleh menekan permintaan luaran terhadap barangan Malaysia.
AS yang juga destinasi eksport ketiga terbesar negara, baru-baru ini mengenakan tarif 24% ke atas pelbagai jenis barangan Malaysia.
Namun, pengecualian untuk semikonduktor dan beberapa produk minyak telah mengurangkan kadar tarif kepada 18%.
Tarif AS itu menyasarkan pelbagai eksport Malaysia, termasuk mesin elektrik dan mekanikal, getah, peralatan perubatan, minyak, perabot, plastik dan produk koko.
Produk elektrik dan elektronik merangkumi hampir 70% daripada eksport Malaysia ke AS.
Namun, sekitar 26% daripada eksport Malaysia masih dikecualikan daripada cukai baharu tersebut, memberi kelegaan sebahagian kepada sektor elektronik.
HLIB Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan campur tangan untuk menyokong ekonomi sekiranya pertumbuhan merosot, dengan kemungkinan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75%.
"Sekiranya tanda-tanda kelemahan pertumbuhan muncul dalam bulan-bulan akan datang, kami percaya BNM mungkin akan mempertimbangkan untuk menurunkan OPR sebanyak 25 bps sebagai langkah membantu rakyat sebagai pengguna akhir," ujarnya.
Walaupun Malaysia kurang terjejas berbanding banyak negara jiran seperti Kemboja, Vietnam dan Thailand yang menghadapi tarif lebih tinggi, HLIB Research menyarankan pemantauan rapat terhadap prestasi pekerjaan, pelaburan dan eksport untuk merangka dasar yang tepat.
Untuk mengurangkan kesan, Malaysia mungkin akan meneroka peningkatan import dari AS, terutamanya dalam sektor-sektor seperti mesin elektrik, pesawat dan produk minyak mineral, di mana negara sudah mempunyai aliran perdagangan yang signifikan.
Sebagai contoh, import mesin elektrik dan mekanikal dari AS pada 2024 bernilai RM73.7 bilion, yang cukup untuk menampung defisit perdagangan dua hala sebanyak RM72.4 bilion.
HLIB Research juga memberi amaran, tarif tersebut boleh menyumbang kepada peningkatan inflasi di AS yang mungkin mempengaruhi dasar monetari negara berkenaan pada suku tahun yang akan datang.
"Tarif ini dijangka menaikkan inflasi AS, dengan indeks harga pengguna mungkin meningkat kepada 4% hingga 5%, yang akan mendorong Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan pendirian mereka yang agak ketat dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya.
HLIB Research kekal dengan ramalan penurunan kadar 50 bps oleh Rizab Persekutuan AS pada separuh kedua 2025, berikutan risiko kemelesetan yang semakin meningkat. - DagangNews.com








