Malaysia di landasan tepat kurangkan nisbah hutang KDNK kepada 60 peratus - KSU Perbendaharaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia di landasan tepat kurangkan nisbah hutang KDNK kepada 60 peratus - KSU Perbendaharaan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mengurangkan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada paras 60 peratus dalam jangka sederhana, didorong oleh pengurusan fiskal yang berdisiplin dan pengurangan jumlah pinjaman tahunan.

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, usaha konsolidasi fiskal yang dilaksanakan kerajaan kini membuahkan hasil apabila defisit belanjawan berjaya dikurangkan daripada 5.5% KDNK pada 2022 kepada 4.1% pada tahun lalu dan disasarkan turun lagi kepada 3.8% menjelang 2025.

 

"Pinjaman tahunan juga telah menurun dengan ketara daripada RM99 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion pada tahun 2024 mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kelestarian fiscal jangka panjang," katanya, lapor TV3.

 

Beliau berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan berjaya mengurangkan paras hutang baharu setiap tahun, selari dengan sasaran untuk menurunkan nisbah hutang negara kepada 60 peratus daripada KDNK.

 

“Ketika ini, nisbah hutang berada sekitar 64 peratus, tetapi pengurangan defisit tahunan dan pinjaman baharu akan membantu mencapai sasaran 60 peratus itu,” jelasnya lagi.

 

test
Datuk Johan Mahmood Merican

 

Johan turut menegaskan segala pelaksanaan dasar setakat ini adalah sejajar dengan matlamat di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal, walaupun terdapat pihak tertentu yang cuba memesongkan naratif mengenai pengurusan kewangan negara.

 

Beliau berkata, komitmen Malaysia terhadap reformasi fiskal turut diiktiraf oleh badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), terutamanya melalui penggubalan dan pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan telah berjaya mengurangkan jumlah pinjaman baharu tahunan, menunjukkan kemajuan dalam pengurusan fiskal yang lebih bertanggungjawab, walaupun bayaran faedah hutang sedia ada masih perlu diuruskan secara berhemah.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan kerajaan telah mengambil pendekatan berperingkat bagi mengurangkan defisit fiskal secara berhati-hati tanpa menjejaskan pembangunan negara atau keyakinan pelabur.

 

Mengulas lanjut, Johan berkata, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan sebahagian daripada pendekatan cukai yang progresif dan disasarkan, bagi memastikan rakyat tidak dibebani secara berlebihan dan ekonomi terus berkembang secara mampan.

 

“Jika GST diperkenalkan semula dengan struktur seperti SST, hasil kutipan cukai boleh meningkat lebih dua kali ganda. Namun ini akan menjadi beban berat kepada ekonomi,” jelasnya.

 

Sebaliknya, SST direka untuk mengecualikan barangan keperluan asas seperti makanan dan memberi tumpuan kepada barangan bukan keperluan atau berstatus premium.

 

“Sebagai contoh, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas bangunan industri, tetapi tidak kepada kediaman. Ini memastikan mereka yang berkemampuan menyumbang lebih banyak,” katanya.

 

Hasil tambahan daripada kutipan cukai akan disalurkan semula untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Pada 2025, bantuan tunai di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion.

 

Beliau berkata, peruntukan untuk sektor pendidikan dan kesihatan turut ditingkatkan di mana Kementerian Pendidikan akan menerima RM74 bilion berbanding RM59 bilion sebelum ini, manakala Kementerian Kesihatan akan menerima RM45 bilion, naik daripada RM41 bilion.

 

“Dana ini akan digunakan untuk membaik pulih sekolah dan klinik, memperbaiki jalan raya serta menaik taraf infrastruktur asas agar rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik melalui langkah fiskal yang bertanggungjawab dan saksama,” katanya. - DagangNews.com