Malaysia Debt Ventures sediakan RM300 juta sokong projek peralihan tenaga sebelum akhir 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Debt Ventures sediakan RM300 juta sokong projek peralihan tenaga sebelum akhir 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept – Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi menyokong projek peralihan tenaga menjelang akhir 2025.

 

Inisiatif MDV, sebuah syarikat milik kerajaan di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bertujuan memperkukuhkan lagi agenda dekarbonisasi negara dan memacu pembangunan teknologi hijau.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira RM70 juta diperuntukkan di bawah Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional (NETF) dalam bentuk insentif seperti rebat dan penambahbaikan kredit bagi meningkatkan kebolehpercayaan projek dari segi pembiayaan. 

 

Projek yang layak merangkumi tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, biogas, biojisim, serta mobiliti hijau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pembangunan teknologi hijau, malah mampu mencetuskan kesan pengganda pembiayaan bernilai RM500 juta hingga RM700 juta.

 

“Kesan pengganda ini memperkukuh keupayaan kami untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Setakat ini, MDV telah menyalurkan lebih RM13 bilion kepada lebih 1,100 syarikat dalam bidang teknologi canggih termasuk robotik, perisian perusahaan, solar dan bioteknologi.

 

Beliau berkata, program NETF dibuka kepada syarikat berdaftar di Malaysia dengan pemilikan tempatan sekurang-kurangnya 51% yang sedang menjalankan projek peralihan tenaga. 

 

“Projek yang dikemukakan mesti berada sekurang-kurangnya pada peringkat pra-komersialisasi, disokong bukti konsep atau prototaip berfungsi, dan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan,” katanya.

 

MDV menyasarkan untuk menyokong antara 20 hingga 30 projek atau syarikat pada 2025 hingga 2026, bergantung kepada saiz pembiayaan, dengan RM123 juta telah pun diluluskan setakat ini. 

 

Menurut Rizal Fauzi, inisiatif ini dijangka dapat membuka peluang pelaburan baharu, menarik syarikat teknologi hijau, dan memperkukuh pertumbuhan industri tenaga lestari di negara ini. - DagangNews.com